Tugas berat atlet e-sukan

Syed Saddiq (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Surina Shukri (lapan, kanan) bergambar bersama para atlet sukan elektronik (e-sukan) untuk Sukan SEA Filipina 2019 ketika acara pelepasan para atlet tersebut pada Pameran Level Up Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
Syed Saddiq (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Surina Shukri (lapan, kanan) bergambar bersama para atlet sukan elektronik (e-sukan) untuk Sukan SEA Filipina 2019 ketika acara pelepasan para atlet tersebut pada Pameran Level Up Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PARA atlet sukan elektronik (e-sukan) negara ke temasya Sukan SEA Filipina 2019 berhadapan tugas berat untuk bukan sahaja berjuang bagi meraih pingat, tapi juga untuk mengubah persepsi buruk sesetengah pihak terhadap sukan itu.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau mahukan supaya atlet e-sukan menangkis persepsi sesetengah pihak yang menganggap permainan elektronik tidak berfaedah dan membuang masa, dengan pulang membawa kejayaan dari Filipina.

“Kalau kita lihat, prestasi mereka sangat baik dan saya yakin mereka akan bawa pulang banyak pingat untuk Malaysia,” katanya selepas menyaksikan flag off atlet e-sukan ke Sukan SEA sempena festival permainan digital, Level Up KL anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa setiap atlet e-sukan negara yang membawa bendera Malaysia, perlu dihormati sebagai wira dan wirawati negara, serta dibantu dengan sebaik mungkin.

Sebanyak enam pingat emas ditawarkan apabila e-sukan buat kali pertama dianjurkan sebagai sukan kompetitif di Sukan SEA bermula 5-10 Dis ini di Filoil Flying V Centre, Manila, dan ini juga kali pertama e-sukan dianjurkan sebagai acara berpingat dalam temasya utama selepas dianjurkan sebagai sukan pertunjukan pada Sukan Asia 2018.

Enam permainan itu ialah Dota 2, Starcraft II, Tekken 7, Hearthstone, Mobile Legends: Bang Bang dan Arena of Valor.

Sementara itu, Syed Saddiq turut berharap untuk menjadikan Malaysia sebagai hab industri e-sukan di Asia, dengan menarik lebih banyak pelaburan dalam industri yang sedang berkembang pesat itu.

“Saya rasa di Asia Tenggara kita dah agak bagus, tetapi kita harus bekerja lebih keras untuk menjadi ‘superpower’ di Asia. Jika kita lihat di China, mereka ada Tencent, Alibaba dan banyak lagi, di Malaysia kita perlu mula menyemai perkembangan industri esport ini, berikan sokongan penuh kepada mereka dan pada masa yang sama dari sudut sukan, esport perlu bekerjasama secara kolektif dengan industri.

Artikel Berkaitan:

“Pada hari ini sahaja ada empat gaming studio tempatan bersama kita, mereka berjaya melakukannya dengan baik, dan ini disebabkan wujudnya MDEC,” katanya.

Selain Sony Interactive Entertainment Worldwide Studios (SIE WWS) yang bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk studio pertamanya di Asia Tenggara, Razer yang membuka ibu pejabatnya di Bangsar awal tahun ini, turut bercadang untuk mewujudkan Pusat E-sukan, yang antara terbesar di Asia Tenggara, di Jalan Ipoh, tambahnya.

Syed Saddiq berkata, apabila industri e-sukan negara berkembang, ia akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia, sekali gus melahirkan lebih banyak pakar dalam industri itu.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Persatuan Esukan Malaysia (ESM), Afiq Fadhli Narawi berkata sasaran terbaharu skuad negara ke Sukan SEA ialah satu pingat emas menerusi permainan Hearthstone dan lima gangsa menerusi permainan lain.- Bernama