Natasha ketuai skuad golf negara ke Filipina

Natasha mengetuai skuad negara ke Sukan SEA Filipina 2019. Foto: IG natasha.oon
Natasha mengetuai skuad negara ke Sukan SEA Filipina 2019. Foto: IG natasha.oon
A
A
A

PEMAIN golf wanita negara, Natasha Andrea Onn akan mengetuai skuad negara ke temasya Sukan SEA Filipina 2019 yang dijadualkan berlangsung di Luisita Country Club di Clark, Filipina dari 4 hingga 8 Disember ini.

Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata, pemilihan Natasha dan enam pemain lain dibuat oleh Jawatankuasa Kecil Pasukan Kebangsaan yang diketuai beliau sendiri dan kriteria pemilihan adalah berdasarkan prestasi pemain bagi tempoh Jun hingga Julai tahun ini.

Kriteria itu adalah menjuarai kejohanan golf antarabangsa, juara Sukan Malaysia, ranking golf amatur dunia, ranking pemain sifar (scratch), purata pukulan, di samping disiplin dan sikap pemain.

“MGA telah mendapatkan khidmat (jurulatih golf profesional), Kim Baldwin (dari Australia), dan (bekas pemain golf wanita negara), Lim Ai Lian bagi memastikan pelan strategik kami diuruskan dengan profesional bagi memastikan pemain kita meraih kedudukan podium,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan MGA di sini kelmarin.

Selain Natasha, pemain lain ialah Ervin Chang, K. Rhaasrikhanesh, Adam Arif Madzri dan Zubair Firdaus dalam kategori lelaki, manakala dua lagi, Alya Abdul Ghanny serta Ashley Lau, dalam kategori wanita.

Natasha, 17, yang berpangkalan di Amerika Syarikat mempamerkan persembahan memberangsangkan pada musim ini dengan memenangi Kejohanan Amatur Terbuka Malaysia pada Jun 2019 di Sarawak di samping berkesudahan di tempat teratas dalam dua daripada tiga acara peringkat kolejnya, termasuk memenangi Kejohanan Gold Rush di Amerika Syarikat pada Februari lepas.

Ervin, yang meneruskan pengajian di Liberty University di Amerika Syarikat juga mencapai keputusan positif termasuk muncul sebagai pemain amatur terbaik Terbuka Singapura, sebuah acara profesional pada Januari lepas, sebelum menempatkan diri dalam lima kedudukan teratas dalam beberapa kejohanan peringkat kolej di Amerika Syarikat.

Rhaasrikhanesh turut memenangi beberapa kejohanan tahun ini, paling jelas kejuaraan berturut-turut masing-masing dalam edisi ke-11 Cabaran Golf Tan Sri Muhyiddin pada Mei dan Kejohanan Amatur Terbuka Kelantan ke-45 pada Julai.

Artikel Berkaitan:

Pencapaian terbaik negara dalam Sukan SEA adalah memenangi pingat perak menerusi Gavin Kyle Green dalam acara individu lelaki pada edisi 2013 di Naypyidaw, Myanmar. - Bernama