'Jangka hayat Bersatu bergantung kepada Tun M'

Mohamad Khaled (tengah) bersama sebahagian penduduk Serkat, Kukup menunjukkan angka dua, simbolik nombor calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.
Mohamad Khaled (tengah) bersama sebahagian penduduk Serkat, Kukup menunjukkan angka dua, simbolik nombor calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.
A
A
A

PONTIAN - Jangka hayat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekadar bergantung tempoh hayat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kekal mengetuai pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin berkata, pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai perlu melihat dan memikirkan apa terjadi kepada Bersatu dan calonnya, Karmaine Sardini selepas ketiadaan Dr Mahathir kelak.

Menurutnya, pengundi juga harus menyedari bukan lagi parti Bersatu yang akan mengetuai kerajaan PH setelah Dr Mahathir tiada, sebaliknya parti lain.

"(Kemandirian) Bersatu bergantung sepenuhnya kepada Dr Mahathir. Saya nak tuan-tuan fikir, Bersatu hari ini kedudukannya begitu kerana ada Dr Mahathir. Berapa lama lagi beliau boleh hidup?

"Apabila Dr Mahathir tak ada, adakah PM (Perdana Menteri) akan datang daripada Bersatu, apa akan jadi pada Bersatu? Parti itu tak ada pelapis, hanya terdiri mereka pandai melompat parti semata-mata," katanya dalam ucapan sewaktu mengadakan pertemuan dengan nelayan kawasan Serkat, Kukup di sini hari ini.

Mohamad Khaled berkata, pihaknya juga tidak terperanjat ramai pemimpin dan ahli parti itu akan melompat parti sekiranya Bersatu mula lemah.

Menurutnya, kesemua pemimpin dan ahli dalam Bersatu mahir 'melompat' parti kerana mereka bukan jenis orang setia dengan perjuangan, pemikiran singkat dan mementingkan diri.

"Satu perkara sangat jelas, bila Dr Mahathir tiada bukan Bersatu jadi PM, tiada pemimpin mereka berupaya kekalkan Bersatu.

Artikel Berkaitan:

"Jadi buat apa (pengundi) Tanjung Piai letak harapan pada parti tak ada harapan? Buat apa nak sokong Bersatu?," katanya.