'Pusat zakat hanya pastikan keperluan asnaf mencukupi'

Hamizul Abdul Hamid
A
A

SHAH ALAM - Peranan pihak pengurusan zakat hanyalah untuk memastikan keperluan asasi penerimanya mencukupi dan bukan sebagai pihak yang mengatur keseluruhan hidup.

Pendakwah yang juga pengurus perundingan agihan zakat di Lembaga Zakat Selangor, Ustaz Hamizul Abdul Hamid berkata, pusat pungutan zakat di sesebuah negeri berperanan untuk memenuhi maqasid syariah iaitu memelihara agama dan memelihara harta supaya apabila zakat itu diberi kepada yang berhak, penerima itu tidak lagi menjadi jahat untuk memenuhi keperluan asasinya.

Beliau berkata, jika ada orang yang mencuri disebabkan kelaparan maknanya berlaku kecenderungan kegagalan pengurusan zakat di sesebuah negeri.

"Situasi ini tidak sepatutnya berlaku jika pusat zakat berkenaan benar-benar melakukan fungsinya.

"Sebab fakir miskin ini perlu diletakkan di tempat paling utama dalam pengagihan zakat dan kalau telah dibantu dan dia masih mencuri juga itu maknanya dia jenis orang yang jahat," katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Hamizul berkata, pusat pungutan zakat hanyalah untuk melengkapkan sistem sesebuah negara dan tidak mampu menangani semua isu dengan sendirinya.

Jelasnya, isu orang yang mencuri adalah isu keselamatan dan membabitkan polis.

"Peranan pihak zakat adalah untuk memastikan asnaf cukup makan, cukup pakai dan ada tempat tinggal (yang asasi).

"Pihak pengurusan zakat menyediakan dana untuk anak penerima asnaf menyambung pelajaran dan turut menyediakan asnaf untuk menjadi salah seorang pemain dalam ekonomi dan apabila berjaya kita keluarkan dia daripada penerima zakat," katanya.

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Mohd Noor berpandangan, agihan zakat perlu diagih berdasarkan keperluan semasa.

Wan Salim Mohd Noor
Wan Salim Mohd Noor

Menurutnya, kategori asnaf fakir dan miskin wajar diutamakan ketika ini memandangkan kedudukan golongan itu amat kritikal dan perlu mendapat perhatian serius daripada pihak berwajib.

"Zakat perlu diagihkan secepat mungkin dan tidak dilengahkan atau ditangguhkan ke tahun berikutnya.

"Selain itu golongan yang baru menganut agama Islam (mualaf) juga perlu dibantu menerusi zakat untuk membolehkan mereka meneruskan kehidupan dengan selesa sebagai sebahagian umat Islam," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Dalam pada itu beliau berkata, organisasi dakwah dan kebajikan dan juga pelajar Muslim dalam pelbagai bidang juga berhak mendapat bantuan zakat.

"Kita mengharapkan pusat pengurusan zakat semua negeri dapat menggunakan budi bicara supaya kesemua asnaf mendapat perhatian dan dibantu dengan secukupnya menurut prioriti seperti dijelaskan.

"Disebabkan itu pusat pengurusan zakat diamanahkan untuk memastikan kewajipan menunaikan salah satu rukun Islam itu dilaksanakan dengan sempurna oleh umat Islam," jelasnya.