Peruntukan RM19 juta Tanjung Piai hasil pilih wakil rakyat kerja kuat

Syed Saddiq ketika menyampaikan ucapan pada Ceramah Harapan di Kampung Sawah di sini malam ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Syed Saddiq ketika menyampaikan ucapan pada Ceramah Harapan di Kampung Sawah di sini malam ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PONTIAN - Pemilihan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) yang tekun bekerja membolehkan rakyat Tanjung Piai menikmati keseluruhan nilai pembangunan RM19 juta dalam tempoh setahun setengah sahaja.

Ketua Armada Bersatu Nasional, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pengorbanan dan jasa bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik terlalu besar kepada rakyat apabila mampu membawa peruntukan besar dalam tempoh singkat.

Menurutnya, kejayaan cemerlang itu juga manifestasi kerja keras bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang difahamkan masih bekerja sehingga jam 3 pagi pada hari kematiannya, 21 September lalu.

"Bila saya jadi menteri, Allahyarham terus jumpa saya minta pelbagai peruntukan untuk belia Tanjung Piai.

"Sebab itu apabila kementerian meluluskan peruntukan RM4 juta untuk belia Tanjung Piai, ia adalah jasa Allahyarham Md Farid bukan sebab pilihan raya kecil (PRK)

"Boleh tanya wakil rakyat lain, betapa susah hendak bawa nilai pembangunan tinggi dalam masa singkat. Tetapi Allahyarham berjaya bawa RM19 juta nilai pembangunan dalam tempoh setahun setengah perkhidmatan sahaja," katanya ketika menyampaikan ceramah PH di Kampung Sawah, Pekan Nanas di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Timbalan Presiden Parti Amanah Negara(Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub; Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar dan calon PH, Karmaini Sardini.

Orang ramai yang hadir pada Ceramah Harapan di PDM PH Kampung Sawah di sini malam ini. - SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Orang ramai yang hadir pada Ceramah Harapan di PDM PH Kampung Sawah di sini malam ini. - SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

Artikel Berkaitan:

Syed Saddiq berkata, tanggungjawab Bersatu untuk mencari calon pilihan raya bagi meneruskan legasi kepimpinan Allahyarham Md Farid yang begitu cemerlang di Parlimen Tanjung Piai sangat berat.

Justeru, beliau gembira apabila Ketua Bersatu bahagian Tanjung Piai, Karmaine Sardini terpilih sebagai calon PRK itu.

"Haji Karmaine (Sardini) merupakan imam masjid pada masa sama dia juga Yang Dipertua (YDP) Sekolah Kebangsaan Datuk Usman Awang, bekas sekolah saya.

"Sewaktu (berkhidmat) di sekolah saya dahulu, orangnya amanah, integriti, bertanggungjawab dan satu sen pun tidak ambil.

"Kepimpinan sebegini diperlukan orang Tanjung Piai. Nilai RM19 juta pembangunan dalam tempoh setahun setengah tidak cukup.

"Sebab itu kerajaan negeri dan pusat akan menggembleng tenaga bagi memastikan pembangunan Parlimen Tanjung Piai tidak akan dilupakan jika Haji Karmaine menang," katanya.