Hanya 27 ADUN di Perak isytihar harta

Koo Ham (tengah) ketika sidang media di Ipoh hari ini.
A
A

IPOH - Hanya 27 daripada 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak sudah mengemukakan borang pengisytiharan harta kepada Pejabat Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas tarikh akhir bagi menghantar borang itu tamat pada 23 Oktober lalu.

Speaker DUN Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, kesemua borang yang diterima itu akan dihantar kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum dipaparkan di dalam laman sesawang mereka untuk diakses oleh orang ramai.

Menurutnya, bagaimanapun ADUN-ADUN yang masih belum mengemukakan borang berkenaan boleh segera menyerahkannya sebelum kesemua borang pengisytiharan harta itu diserahkan kepada SPRM minggu depan.

"Setakat ini saya hanya terima 27 ADUN yang telah menghantar akuan berkanun pengisytiharan harta. Saya berharap mereka yang belum berbuat demikian untuk segera kerana minggu depan semua akan dihantar kepada SPRM.

"Usul untuk mengisytiharkan harta diluluskan oleh Dewan ini pada 23 Julai 2019 di mana telah diputuskan semua ADUN-ADUN perlu mengisytiharkan harta dan akuan berkanun hendaklah diserahkan sebanyak dua salinan kepada saya dan satu salinan diserahkan kepada SPRM," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada 27 ADUN yang menghantar borang pengisytiharan harta itu daripada wakil rakyat kerajaan atau pembangkang, beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti ADUN-ADUN tersebut.

Sebaliknya Koo Ham berkata, wakil rakyat yang menghantar borang pengisytiharan harta itu hanya akan diketahui setelah dipaparkan di dalam laman sesawang SPRM.

Pada 23 Julai lalu DUN Perak mencipta sejarah apabila meluluskan usul mewajibkan semua ADUN mengisytihar harta mereka dan ahli keluarga terdekat iaitu suami, isteri atau anak dalam akuan berkanun.

Bagaimanapun kesemua ADUN pembangkang enggan mengemukakan borang pengisytiharan harta itu kepada Koo Ham dan hanya akan menyerahkannya kepada SPRM.

Dalam pada itu, Koo Ham mendakwa semakan yang dibuat di SPRM mendapati tiada mana-mana ADUN yang menyerahkan borang pengisytiharan harta terus kepada badan tersebut.

Mengenai tindakan ke atas ADUN yang gagal mengemukakan borang pengisytiharan harta itu beliau menyerahkan sebarang keputusan kepada DUN Perak menentukan hukuman.