Cheng Hoe mahu manfaat peluang

Cheng Hoe (dua dari kiri) bersalaman bersama ketua jurulatih Tajikistan, Usmon Toshev (tiga dari kiri) selepas sidang media perlawanan persahabatan antara Malaysia menentang Tajikistan bagi persiapan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. Turut kelihatan, pemain skuad Harimau Malaya, Muhamad Nor Azam Abdul Azih (kiri) dan pemain Tajikistan, Nazarov Akhtam (kanan). - Foto Bernama
Cheng Hoe (dua dari kiri) bersalaman bersama ketua jurulatih Tajikistan, Usmon Toshev (tiga dari kiri) selepas sidang media perlawanan persahabatan antara Malaysia menentang Tajikistan bagi persiapan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. Turut kelihatan, pemain skuad Harimau Malaya, Muhamad Nor Azam Abdul Azih (kiri) dan pemain Tajikistan, Nazarov Akhtam (kanan). - Foto Bernama
A
A
A

KETUA jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe akan memanfaatkan sebaiknya perlawanan persahabatan menentang Tajikistan sebagai landasan untuk mencari ramuan terbaik menjelang Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Menurutnya bekas pengendali Kedah itu, sebagai ketua jurulatih, beliau masih dalam proses mencari kombinasi pemainnya dan akan memberi peluang kepada pemain yang belum beraksi untuk berdepan Tajikistan.

"Apa yang saya mahu lihat dalam perlawanan menentang pasukan ranking lebih baik (Tajikistan) ini, saya mahu setiap pemain kekalkan corak permainan dan masa sama saya hendak lihat dari segi keserasian pemain.

"Ini penting bagi anak buah saya meningkatkan tempo permainan setiap perlawanan," katanya dalam sidang akhbar di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur menjelang aksi perlawanan persahabatan Malaysia menentang Tajikistan.

Tambah Cheng Hoe, menentang Tajikistan harus dimanfaatkan untuk Harimau Malaya untuk menjadi lebih lebih kuat bagi meningkatkan keyakinan dan belajar sesuatu daripada segi teknikal serta taktikal.

Katanya, selepas beberapa hari sesi latihan, beliau melihat komitmen pemainnya bertambah baik.

"Esok adalah satu ujian buat kami dan saya masih lagi hendak melihat pemain untuk terus meningkatkan prestasi mereka daripada segi latihan dan ujian. Berdasarkan rekod Tajikistan dalam kelayakan Piala Dunia setakat ini, mereka sudah mengumpul enam mata..dari segi fizikal mereka ada kelebihan dan saya harap pemain belajar sesuatu.

"Saya harap semua pemain saya tidak rasa tertekan untuk game ini. Kita perlu yakin dan perlu main sebagai satu pasukan.... menyerang sebagai satu pasukan dan bertahan sebagai satu pasukan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ketika ditanya tentang pemain yang baru dipanggilnya iaitu Afiq Fazail dan Baddrol Bakhtiar, Cheng Hoe berkata, pemain itu memberi satu petunjuk yang baik buat pasukan dan secara tidak langsung akan membuatkan perlawanan itu nanti lebih berbeza.

Sementara itu, pemain tengah, Nor Azam Abdul Azih menganggap kehadiran pemain terbaik negara terutama dalam posisi tengah seperti Brendan Gan, Baddrol (Bakhtiar) dan Afiq (Fazail) akan menjadi kombinasi yang baik buat pasukan.

"Saya bangga selepas coach Tan (Cheng Hoe) senaraikan saya semula dalam skuad.

"Pemilihan pemain senior dan junior dalam skuad kebangsaan diharap dapat menjelmakan kemenangan dan menjadikan pasukan lebih serasi. Ini adalah perlawanan awal menjelang perlawanan sebenar menjelang pertemuan dengan Thailand nanti," katanya.

Skuad Harimau Malaya di ranking ke-158 akan bertemu Tajikistan yang berada di ranking ke-116 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini.

Perlawanan menentang Tajikistan ini sebagai persiapan bagi menghadapi dua aksi Kumpulan G, Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Thailand pada 14 November dan Indonesia (19 November) di Stadium Nasional Bukit Jalil.