Sorok rokok seludup dalam ladang sawit

Antara rokok seludup bernilai RM871,500 yang dirampas PGA dalam operasi dalam ladang kelapa sawit di Ladang Tumbok, Tanjung Sepat Banting, Selangor semalam.
Antara rokok seludup bernilai RM871,500 yang dirampas PGA dalam operasi dalam ladang kelapa sawit di Ladang Tumbok, Tanjung Sepat Banting, Selangor semalam.
A
A
A

BANTING - Sebanyak 249 kotak rokok seludup dianggarkan bernilai RM871,500 yang disorok dalam ladang kelapa sawit di Ladang Tumbok, Tanjung Sepat di sini dibongkar sepasukan pegawai dan anggota Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) jam 1 pagi semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Zulafendy Hassan berkata, kesemua rokok tersebut ditemui dalam satu longgokan bertutup kanvas yang mencurigakan.

"Anggota PGA bertindak memeriksa dan membuat rondaan di sekitar kawasan namun tiada individu berada di lokasi kejadian.

"Pemeriksaan menjumpai dua jenis rokok yang dipercayai diseludup masuk ke dalam negara," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mengesyaki kawasan itu dijadikan tempat sementara untuk menyimpan rokok seludup sebelum diambil oleh individu lain.

Katanya, siasatan masih dijalankan dan kesemua rokok berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat untuk tindakan lanjut.

"PGA akan terus membuat pemantauan dan operasi dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang khususnya kegiatan penyeludupan sama ada pendatang asing tanpa izin (PATI) dan rokok," katanya.

Artikel Berkaitan: