Anak muda harus dipandang rakan strategik bukan masalah

Steven Sim Chee Keong
Steven Sim Chee Keong
A
A
A

KUALA LUMPUR – Golongan muda harus dipandang sebagai rakan strategik dan bukanlah sebagai satu masalah.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong berkata, kerajaan baharu akan menghormati, memupuk nilai baik dan memberi mereka ruang untuk berfikir secara matang, kritikal serta merdeka, dan sekiranya timbul masalah melibatkan kumpulan berkenaan, ia harus diselesaikan oleh kerajaan

"Justeru untuk menyelesaikan masalah sosial sama ada dalam kalangan kanak-kanak dan orang biasa, ia bukan dengan cara menutup minda tapi dengan cara membuka minda mereka.

"Daripada menyangkal, kita nak beri mereka pendedahan apa yang baik dan apa buruk. Kalau kita hanya menutup dan menidakkan orang muda berumur 16 tahun ini duduk dalam rumah (pada waktu malam) dan bila umur 17 tahun nanti dia boleh keluar rumah. Adakah selesai masalah sosial itu?," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Malam Baca Puisi Pena 2019 di Rumah Pena, di sini malam tadi.

Chee Keong mengulas mengenai laporan media tentang satu kajian mendalam cadangan perintah berkurung ke atas remaja di Kelantan sedang dilakukan sebelum pelaksanaannya diputuskan.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dilaporkan berkata kajian itu diterajui beberapa pihak termasuk Pusat Kajian Strategik Kelantan dan turut melibatkan konsultan bebas.

Pada awal November 2018, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan, Mumtaz Md Nawi semasa menggulung perbahasan Belanjawan 2019 pada sidang Dun Kelantan, mengumumkan kerajaan negeri bersetuju mengkaji pelaksanaan perintah berkurung ke atas remaja pada waktu malam bagi mengatasi masalah gejala sosial di negeri berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: