Sindiket curi, lerai kenderaan tumpas

Peralatan curi kenderaan dan komponen kereta telah dileraikan antara yang dirampas selepas polis menahan tujuh lelaki di Selangor dan Melaka.
Peralatan curi kenderaan dan komponen kereta telah dileraikan antara yang dirampas selepas polis menahan tujuh lelaki di Selangor dan Melaka.
A
A
A

SUBANG JAYA - Curi dan lerai. Itu modus operandi geng curi kenderaan yang bergiat aktif di sekitar Lembah Klang sejak awal tahun lalu.

Bagaimanapun, sindiket terbabit tumpas apabila tujuh lelaki berusia lingkungan 20-an hingga 40-an dicekup polis di lokasi berasingan sejak November lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, bertindak atas laporan, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) dibantu Team Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya melakukan beberapa serbuan di sekitar Gombak, Selangor; Kampar, Perak; Tangkak, Johor dan Alor Gajah, Melaka.

Menurutnya, empat suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap ditahan di Jalan Sentosa Gombak.

Katanya, tiga lagi anggota sindiket terbabit ditahan di Jalan Lendu, Alor Gajah, Melaka.

Risikin
Risikin

“Polis berjaya menemui semula lima kereta yang dilaporkan hilang sebelum ini termasuk sebuah Proton Wira, Proton Wira Aeroback, Mitsubishi Storm, Perodua Alza dan Honda Civic EJ.

“Turut dirampas beberapa komponen kereta yang telah dileraikan dan peralatan dipercayai digunakan untuk mencuri kenderaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Risikin berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati lima suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.

“Seorang daripada suspek yang ditangkap di Jalan Sentosa 2 mempunyai 14 kes jenayah, tujuh kes bersabit dadah dan dua kes masih dikehendaki polis manakala suspek kedua mempunyai empat rekod jenayah lampau dan tiga kes bersabit penyalahgunaan dadah.

“Suspek ketiga mempunyai dua kes berkaitan dadah manakala suspek keempat mempunyai 15 rekod jenayah lampau, tiga kes berkaitan dadah serta satu masih dikehendaki polis,” katanya.

Menurutnya, seorang daripada tiga suspek yang ditahan di Melaka mempunyai satu rekod jenayah manakala dua lagi tiada rekod.

“Empat suspek yang direman selama enam hari sehingga semalam ditahan semula bagi membantu siasatan berhubung kes curi kereta Perodua Alza dilaporkan hilang di Ampang pada 8 Oktober lalu.

“Tiga suspek yang ditahan di Melaka pula direman selama empat hari sehingga Sabtu ini,” katanya.

Beliau berkata, suspek mengaku terlibat dalam kes curi kereta di Selangor, Kuala Lumpur dan Perak.

Katanya, siasatan masih diteruskan dan polis masih memburu saki-baki suspek serta mengesan barang kes dicuri yang masih berada dalam milikan pembeli tidak sah.