Pemuda Amanah Perak dapat ketua baharu lagi

Syamsul Alauddin dan Khairol Najib
A
A

IPOH - Kepimpinan Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak kini berubah lagi selepas pemilihan semula yang berlangsung kelmarin menyaksikan Mohd Syamsul Alauddin gagal mempertahankan jawatan yang dimenanginya empat bulan lalu.

Jawatan itu kini disandang Ketua Amanah Kawasan Tanjung Malim, Khairol Najib Hashim yang berjaya berada dalam senarai 15 ahli jawatankuasa itu.

Perubahan turut menyaksikan Ahmad Saqif Ansorullah Ahmad Jihbadz Mokhlis tidak lagi dipilih sebagai Timbalan Ketua Pemuda Amanah dengan diganti oleh Ahmad Shafiq Ahmad Ariffin.

Sementara itu, bagi jawatan Naib Ketua Pemuda masing-masing disandang Ahmad Munzirie Ahmad Kabir dan Mohd Fitri Asmuni.

Mohd Syamsul Alauddin pada 4 Ogos lalu dipilih sebagai Ketua Pemuda Amanah Perak menggantikan Hasnul Zulkarnain Abd Munaim yang juga Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak.

Dalam pada itu, Khairol Najib sebelum ini mencipta kejutan apabila menewaskan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Aminuddin Zulkapli pada pemilihan semula Amanah Kawasan Tanjung Malim.

Pemilihan semula beberapa sayap dan Amanah di peringkat kawasan di seluruh negara dilaksanakan atas arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) disebabkan masalah teknikal.