Hadiah bernilai lebih RM130,000 menanti kaki pancing

Dr Ammar (kanan) bersama pemancing yang menaikkan ikan pari di Tambak Pontian pada tahun lalu.
Dr Ammar (kanan) bersama pemancing yang menaikkan ikan pari di Tambak Pontian pada tahun lalu.
A
A
A

PONTIAN - Hadiah bernilai lebih RM130,000 bakal menjadi rebutan pemancing dalam Tourism Malaysia Surfcasting Tour... A Journey To Visit Malaysia 2020 di Pantai Tambak Pontian di sini Sabtu ini.

Pertandingan itu anjuran bersama Tourism Malaysia dan Wakjali Event Management dengan kerjasama Tourism Johor dan WFC Development Sdn Bhd untuk mempromosikan lokasi pelancongan menarik di seluruh negara.

Pertandingan itu menawarkan hadiah wang tunai RM70,000 untuk juara, kedua menerima RM12,000 dan ketiga RM5,000.

Pemenang keempat bakal membawa pulang RM1,000, kelima (RM700) keenam hingga ke-10 (RM450) manakala pemenang ke-11 hingga 100 bakal pulang dengan RM300.

Turut ditawarkan, sebuah televisyen LED 60 inci dan empat TV LED 32 inci, 20 hamper dan 10 barangan Igloo sebagai hadiah cabutan bertuah serta 1,000 t-shirt untuk peserta yang mendaftar awal.

Pengurus Wakjali Event Management, Md Zali Kasran berkata, pertandingan itu yang masuk siri kelapan selepas Melaka, Kelantan, Selangor, Terengganu, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan bermula pada jam 8 pagi hingga 12 tengah hari berdasarkan kepada carta air pasang surut.

“Pantai Tambak Pontian sangat terkenal sebagai lokasi memancing dan mempunyai banyak spesies ikan seperti pari, belukang, semilang, duri, gelama, ketuka, malong dan lain-lain.

“Bagi pertandingan ini, penganjur akan membuka keseluruhan Kawasan tambak sehingga ke muara sungai. Hanya Kawasan di belakang Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan ditutup,’’ katanya.

Artikel Berkaitan:

Yuran penyertaan hanya RM80 untuk satu joran dan peserta dibenar menggunakan dua joran sahaja.

Bagi menghargai penyertaan peserta warga emas berusia 60 hingga 65 tahun, penganjur memberikan diskaun 25 peratus (RM60) manakala peserta berusia lebih 65 tahun diberikan diskaun 50 peratus (RM40).

Kaunter pendaftaran 24 jam akan dibuka di lokasi pertandingan pada jam 3 petang esok dan pertandingan adalah berasaskan ikan terberat dengan beberapa spesies ikan tidak dipertandingkan seperti todak, sesirat serta kerapu.

Perasmian akan disempurnakan oleh Pengarah Kanan Tourism Malaysia (Domestik dan Acara), Datuk Dr Ammar Abd Ghapar yang juga Ketua Sekretariat Tahun Melawat Malaysia 2020.

Beberapa acara sampingan turut diadakan termasuk pertandingan beyblade, pertandingan mewarna, memancing keli kanvas, pameran dan jualan kraftangan.

Orang ramai yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai pertandingan itu boleh menghubungi talian 019-6203040, 012-2141401 dan 013-3838655.