85 mesin bitcoin dicuri

Mohd Said (dua dari kanan) menunjukkan mesin perlombongan bitcoin yang dirampas pada sidang akhbar di IPD Seremban hari ini.
A
A

SEREMBAN - Baharu sehari menyewa rumah, lima individu bertindak menebuk dinding rumah jirannya untuk pecah masuk dan melakukan jenayah.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, kejadian pada 29 Oktober lalu di sekitar Seremban membabitkan kehilangan 85 mesin perlombongan bitcoin bernilai RM42,500.

Menurutnya, susulan laporan polis dibuat seorang pemuda pada jam 10.55 malam, pihaknya berjaya menahan empat lelaki dan seorang wanita termasuk dua warganegara Indonesia yang dipercayai bersubahat melakukan kegiatan pecah rumah dan mencuri.

"Kesemua mereka ditahan pada 2 November di sekitar Seremban dan Nilai antara jam 12 tengah hari sehingga 4.30 pagi.

"Siasatan awal mendapati mereka mencuri mesin tersebut bagi tujuan kegunaan sendiri untuk melakukan operasi perniagaan menggunakan mesin bitcoin yang dicuri," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di sini hari ini.

Mohd Said berkata, modus operandi kumpulan terbabit adalah menyewa premis kosong di sebelah tempat yang disasarkan sebelum menebuk dinding premis sebelahnya untuk memasukinya dengan mudah.

Mohd Said (duduk) melihat mesin perlombongan bitcoin yang dirampas pada sidang akhbar di IPD Seremban hari ini.
Mohd Said (duduk) melihat mesin perlombongan bitcoin yang dirampas pada sidang akhbar di IPD Seremban hari ini.