Anwar ucap terima kasih kepada Tun M serah jawatan PM

Anwar ketika ditemui wartawan di lobi Parlimen hari ini.
Anwar ketika ditemui wartawan di lobi Parlimen hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - “Terima kasih, terima kasih,” ucap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada beliau.

Beliau yang ditemui di lobi Parlimen hari ini menyatakan ucapan terima kasih itu ditujukan kepada Dr Mahathir dan juga Pakatan Harapan (PH) serta rakyat.

Ketika ditanya cubaan pihak tertentu yang mahu menghalangnya menjadi perdana menteri, Ahli Parlimen Port Dickson itu sekali lagi menegaskan keputusan itu dibuat sebelum pilihan raya lagi.

“Saya dah jelaskan, saya ikhlas. Sebenarnya malas nak jawab.

“Keputusan dibuat sebelum pilihan raya, mandat dalam pilihan raya, setakat ini tidak ada pimpinan PH yang mengusulkan nama lain,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Kelmarin, Dr Mahathir memberi jaminan beliau akan berundur sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tetapi tidak menyatakan tarikh khusus.

Ketika ditanya adakah beliau akan menyerahkan jawatan tersebut kepada Anwar dan bukan orang lain, Dr Mahathir menjawab: “Ya, saya akan.”

Terdapat khabar angin baru-baru ini mengenai langkah membentuk kerajaan baharu secara pintu belakang, melalui rundingan dalam kalangan pemimpin politik.

Artikel Berkaitan:

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menggesa Dr Mahathir untuk kekal sebagai perdana menteri sepanjang mandat lima tahun PH.