Ayah Mat menangis ditipu dapat rumah Baitulmal

Che Mat menangis menceritakan kejadian yang berlaku pada Ogos lalu apabila dia ditipu untuk mendapatkan rumah.
Che Mat menangis menceritakan kejadian yang berlaku pada Ogos lalu apabila dia ditipu untuk mendapatkan rumah.
A
A
A

GUA MUSANG - Pasangan warga emas menitiskan air mata apabila mereka menjadi mangsa penipuan seorang lelaki yang menjanjikan rumah Baitulmal buatnya sekeluarga.

Bukan sahaja dijanjikan rumah, malah Che Mat Che Muda, 75, dari Kampung Awek, di sini, kerugian RM1,200 selepas menyerahkan wang berkenaan Ogos lalu.

Menurutnya, dia didatangi seorang lelaki yang mendakwa boleh membantu warga emas ini untuk mendapatkan rumah yang lebih selesa.

"Ayah Mat tinggal di rumah ihsan pemilik kebun getah ini sejak dua tahun lalu. Pada 22 Ogos lalu, ada seorang lelaki datang menawarkan rumah namun perlu bayar RM450 untuk bayaran tapak rumah.

"Dia beritahu, rumah Baitulmal itu dibina di Bandar Utama. Keesokannya, dia datang minta RM850 untuk bayaran penyambungan elektrik dan air.

"Tapi, Ayah Mat tak ada duit sebanyak itu dan bagi RM750. Sampai ke hari ini, dia tak datang lagi dan Ayah Mat sedar kami sudah ditipu," katanya.

Syahbuddin turun melihat keadaan Che Mat serta menyampaikan sumbangan.
Syahbuddin turun melihat keadaan Che Mat serta menyampaikan sumbangan.

Che Mat berkata, dia tinggal di bangsal dalam kebun getah itu bersama isteri, Hasmah Mamat, 62, anak OKU, Che Anuar Che Mat, 42, dan seorang cucu, Muhamad Amirul Iman, 9.

Artikel Berkaitan:

"Ayah Mat tak mampu bekerja kerana faktor usia dan hanya mengharapkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM350 sebulan. Anak Ayah Mat juga menerima bantuan OKU sebanyak RM250 sebulan.

"Dengan bantuan itulah, kami menyara keluarga. Sekarang, Ayah Mat sedang bina bangsal di tanah rezab kereta api di Kampung Batu 6 kerana tanah rumah yang Ayah Mat duduk sekarang dah bertukar pemilik," katanya.

Sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Che Mat,4059986000608325.

Prihatin dengan nasib yang menimpa warga emas ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim turun melihat sendiri kesempitan mereka.

Mohd Syahbuddin yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Asnaf Gua Musang (PEKA GM) berkata, keperluan utama keluarga ini adalah rumah.

"Kita akan cuba bantu Ayah Mat melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) untuk dapatkan rumah," katanya selepas menyampaikan sumbangan.