[VIDEO] 'Kami sedia pindah, serik banjir kilat'

Keadaan rumah Norizan selepas empat hari banjir.
A
A

GUA MUSANG - [DIKEMASKINI] Penduduk Kampung Tanah Putih di sini hidup dalam kebimbangan selepas kejadian banjir kilat melanda kawasan rumah mereka Jumaat lalu.

Malah mangsa banjir di 10 buah rumah sedia untuk berpindah ke penempatan lain kerana dibayangi resah sekiranya kejadian sama berulang lagi.

Bagi mangsa banjir, Siti Noor Asiah Aziz, 29, kejadian banjir kilat pada 1 November lalu meninggalkan kesan mendalam buat mereka sekeluarga.

Menurutnya, tiada jalan penyelesaian lain selain berpindah dari kawasan berkenaan kerana apa jua kemungkinan boleh berlaku di musim tengkujuh ini.

"Seminggu selepas kejadian itu pun belum tentu dapat memulihkan segalanya. Sehingga kini, saya masih belum selesai membasuh semula baju-baju yang bersalut lumpur kesan banjir kilat.

"Ditambah pula dengan musim tengkujuh, kerja-kerja pembinaan jalan pula masih berjalan, saya tidak boleh tidur malam. Dalam masa satu jam sahaja, air boleh menenggelamkan rumah.

"Saya mohon kerajaan atau agensi berkenaan menyediakan rumah untuk kami. Kami tidak tolak pembangunan cuma biarlah ia dalam keadaan terancang dan tidak menyusahkan rakyat," katanya.

Bagi mangsa, Norizan Awang, 48, ini merupakan kejadian paling teruk selepas Bah Kuning 2014 yang turut menenggelamkan rumahnya.

"Bah kuning 2014, hanya paras pinggang sahaja namun banjir kilat Jumaat lalu hingga paras dada. Saya tidak sempat menyelamatkan harta benda.

"Walaupun pada jam 4 pagi air kembali surut namun kesannya hingga ke hari ini belum pulih. Semua harta benda saya rosak, pakaian kotor dan perlu dibasuh semula.

"Saya sekeluarga sedia berpindah sekiranya ada penempatan sesuai kerana saya sudah tidak sanggup berdepan kejadian seperti ini lagi. Ia amat memeritkan," katanya.

Seorang lagi mangsa, Mohamad Afendi Rajab, 43, mendakwa, kerja-kerja pembinaan lebuhraya di belakang rumahnya menjadi punca banjir kilat pada kali ini.

"Saliran sungai ditimbus menyebabkan air tidak dapat mengalir secara terus seperti biasa. Sebelum ini aliran sungai tidak diganggu, kini aliran sungai menjadi kecil.

"Saya tidak tahu berapa lama kami perlu melalui detik cemas seperti ini selagi kerja-kerja pembinaan ini belum siap.

"Sepatutnya mereka memikirkan keadaan dan kesan pembangunan ini terhadap kami yang menghuni di kawasan berdekatan. Malam kami berdepan banjir kilat, esoknya hingga kini mereka tetap beroperasi seperti biasa," katanya.