APMM Kelantan jumpa Ketua Polis Negeri

Pertemuan yang berlangsung di pejabat Hasanuddin.
Pertemuan yang berlangsung di pejabat Hasanuddin.
A
A
A
KOTA BHARU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kelantan menegaskan pihaknya secara berterusan sentiasa serius dalam menangani dan mengekang jenayah rentas sempadan.

Berikutan rentetan siri tangkapan jenayah penyeludupan di negeri ini, Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob melakukan kunjungan hormat terhadap Ketua Polis Negeri, Datuk Hasanuddin Hassan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini semalam.

Muhd Nur Syam Azmawie berkata, pertemuan diadakan bagi membincangkan perkembangan semasa berhubung ketenteraman awam di samping memperkenalkan beliau sebagai Pengarah Maritim Negeri Kelantan yang baharu.

Muhd Nur Syam Azmawie berkata, antara perkara difokuskan dalam pertemuan itu adalah berkaitan penyeludupan, yang mana sebelum ini APMM telah menekankan akan menutup laluan laut kepada mana-mana individu atau sindiket yang menjalankan jenayah terbabit.

"Kita membanteras kegiatan ini dari laut sehingga ke daratan dan sentiasa mendokong penuh arahan Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim, Datuk Mohd Zubil Mat Som yang mana beliau mahukan sindiket penyeludupan dibanteras sehingga ke akar umbi.

"Untuk itu, kita perlu mengeratkan hubungan dengan Polis Kelantan. Datuk Hasanuddin juga turut berkongsi beberapa perkara kepada kita dan bersependapat dengan hasrat Maritim dalam hal ini,” katanya hari ini.

Pertemuan turut disertai, Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Kelantan, Komander Maritim Ismail Hamzah, Pegawai Memerintah KM Amanah, Leftenan Komander Maritim Ahmad Shakur Jamaludin dan Pegawai Operasi, Leftenan Maritim Saufi Aiman Amin Mohd Supian.

IPK Kelantan pula disertai Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Sheik Azhar Sheik Omar, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan), Glenn Anthony Sinappah dan Pegawai Turus Ketenteraman Awam, Zulkofli Said.

Mengulas lanjut, Muhd Nur Syam Asmawie berkata, menerusi hasil perbincangan yang positif itu sudah pasti akan meletakkan pasukan penguatkuasa selangkah di hadapan dalam membanteras jenayah penyeludupan sekaligus meningkatkan ketenteraman awam, mengurangkan masalah sosial dan memakmurkan Kelantan.
Artikel Berkaitan:


Katanya, selepas ini APMM Kelantan akan turut mengadakan pertemuan dengan agensi persekutuan dan negeri di sini seperti Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Perikanan dan Pihak berkuasa Tempatan (PBT).

“Kita juga akan bertemu dengan Panglima Markas 8 Briged bagi membincangkan hal berkaitan,” katanya.