'Tiada keperluan turun had harga hartanah warga asing di Melaka'

Adly Zahari
Adly Zahari
A
A
A

MELAKA - Tiada keperluan untuk kerajaan negeri menurunkan had harga jualan kondominium dan pangsapuri yang boleh dibeli warga asing di Melaka iaitu daripada RM500,000 seunit kepada RM400,000 seunit.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, ini kerana had harga hartanah itu antara terendah di negara ini dan kerajaan negeri telah mengambil kira pelbagai aspek untuk mengekalkan had harga jualan tersebut.

"Kita kekal dengan had harga RM500,000 seunit bagi kondominium dan pangsapuri yang boleh dibeli oleh warga asing di Melaka.

"Tidak perlu bersaing dengan masyarakat tempatan isu (harga rumah) ini," katanya kepada pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-81 Tuan Yang Terutama Tun Dr Mohd Khalil Yaakob di Balai Istiadat, Seri Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai permintaan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Melaka untuk menurunkan harga jualan itu, seperti dilapor oleh media pada Jumaat lepas.

Adly berkata, kerajaan negeri juga tidak bercadang untuk menurunkan peratusan levi yang dikenakan ke atas pembelian hartanah kuota bumiputera di negeri tersebut yang kini sebanyak 15 peratus.

Beliau berkata, langkah itu untuk meningkatkan jumlah dana hartanah bumiputera yang akan digunakan untuk pembangunan projek perumahan bumiputera di Melaka.

"Sebelum ini, peratusan levi yang dikenakan rendah kerana kita tidak melepaskan kuota bumiputera tetapi apabila ia berlaku, peratusan itu perlu ditingkatkan dan ia akan digunakan untuk membina lebih banyak rumah mampu milik untuk bumiputera pada masa depan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: