'Cincin berapi' bakal muncul di Tanjung Piai

Anita memberikan penerangan mengenai Gerhana Matahari Anulus pada sidang media di Planetarium Negara hari ini.
Anita memberikan penerangan mengenai Gerhana Matahari Anulus pada sidang media di Planetarium Negara hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gerhana Matahari Anulus yang pernah terjadi kira kira 21 tahun yang lalu iaitu pada 22 Ogos 1998 di Mersing Johor akan berlaku sekali lagi pada tengahari 26 Disember depan.

Tanjung Piai di Johor dan bandar Serian di Sarawak dipilih sebagai lokasi rasmi program Gerhana Matahari Cincin atau pembentukan 'cincin berapi' itu yang juga dikenali dengan panggilan Gerhana Matahari Anulus itu.

Pengarah Planetarium Negara, Anita Bahari berkata, Gerhana Matahari Cincin itu hanya akan berlaku di dua kawasan tersebut sahaja kerana pada ketika itu kedudukan bulan, bumi dan matahari adalah selari.

Katanya, tempoh gerhana berlaku bermula jam 1.21 hingga 1.23 petang di Tanjung Piai manakala di Serian pula fenomena itu akan berlaku dalam tempoh kira-kira empat minit bermula 1.46 hingga 1.50 petang.

“Orang ramai mengunjungi tapak festival di Taman Negara Tanjung Piai nanti berpeluang menyaksikan fenomena alam ini untuk tempoh paling lama berbanding kawasan lain di seluruh Semenanjung.

“Selain Tanjung Piai dan Serian pada waktu sama seluruh negara juga turut mengalami fenomena Gerhana Matahari Separa bermula kira-kira jam 10.30 pagi sehingga 3.30 petang," katanya pada sidang media di Planetarium Negara hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Bahagian Perkhidmatan Sains, Teknologi, Industri dan Pembudayaan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Kamaruzaman Nik Husin.

Bagaimanapun, katanya, jika masyarakat ingin melihat kejadian Gerhana Matahari Cincin lebih dekat dan tepat, ia hanya berlaku di Tanjung Piai dan Serian sahaja.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, bersempena fenomena itu juga Planetarium Negara dengan kerjasama Taman Negara Tanjung Piai turut mengadakan festival SolarFest Malaysia 2019 bermula 24 sehingga 26 Disember ini.

"Festival ini menyasarkan 30,000 pengunjung sepanjang tempoh penganjuran itu bakal disertai ahli-ahli astrofizik dan selebriti tempatan melibatkan pelbagai acara antaranya pameran solar Gastronomi.

"Pada kemuncak acara 26 Disember nanti orang ramai khususnya peminat astronomi berpeluang menyaksikan Gerhana Matahari Cincin melalui teleskop dan cermin mata khas disediakan Planetarium Negara," katanya.

Ditanya mengenai kesan terhadap kesihatan dan perubahan alam sekitar, Anita berkata, perbezaan tarikan graviti bulan berikutan gerhana matahari cincin bakal menyebabkan fenomena air pasang besar di pantai barat Semenanjung.

Katanya, berdasarkan maklumat diperoleh daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) paras air laut di Tanjung Piai dijangka naik sehingga 3.4 meter berbanding kadar biasa antara dua hingga tiga meter.

“Namun, ini paras biasa dan tidak memberi sebarang kebimbangan kepada pengunjung, lebih menarik ialah kesan kepada burung hijrah serta tumbuhan kerana persekitaran hening tengah hari tiba-tiba bertukar gelap.

“Oleh itu, Tanjung Piai akan menjadi lokasi tumpuan dalam kalangan penyelidik dari segenap pelusuk negara dan peminat astronomi bagi menyaksikan keunikan serta kesan fenomena ini kepada alam sekitar," katanya.

Dalam pada itu, beliau sekali lagi mengulangi gesaannya agar pengunjung tidak melihat gerhana secara terus, sebaliknya menggunakan 10,000 kaca mata khas yang akan diperuntukkan pihak Planetarium.

“Berikutan kekuatan sinar cahaya matahari ketika gerhana, individu yang melihat secara terus berdepan risiko buta kekal, justeru guna kaedah bersesuaian dan ikuti nasihat penganjur,” katanya.

Tambahnya, pada acara kemuncak, peminat aktiviti astronomi juga berpeluang menyaksikan gerhana itu secara langsung di media sosial yang dijangka diikuti dua juta peminat astronomi di seluruh dunia.