Jakim iktiraf sijil halal Ukraine

Sergiy Kyslytsya. FOTO: BERNAMA
Sergiy Kyslytsya. FOTO: BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pensijilan halal Ukraine yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) amat bermakna kepada kira-kira dua juta umat Islam di Ukraine, kata Timbalan Menteri Luar, Sergiy Kyslytsya.

Kyslytsya berkata, LLC Certification Centre ‘Halal’ yang beribu pejabat di Kyiv itu merupakan Badan Pensijilan Halal Luar Negara (FHCB) yang mendapat pengiktirafan pada awal tahun ini, akan dapat menampung keperluan serta permintaan umat Islam di Ukraine.

Beliau berkata, pensijilan itu juga penting untuk memacu pertumbuhan perdagangan dua hala antara Ukraine dan Malaysia.

"Ini penting bukan sahaja untuk tujuan mengeksport (produk) ke negara Islam, tetapi juga penting kepada kira-kira dua juta penduduk Islam di Ukraine, jumlah yang ramai berbanding sesetengah negara Islam," katanya dalam temu ramah eksklusif di Bernama baru-baru ini.

Kyslytsya mengadakan lawatan kerja dua hari ke Malaysia dan mengetuai delegasi terdiri Ketua Pengarah Kementerian Hal Ehwal Luar Ukraine bagi Wilayah Asia Pasifik Zhanna Leshchynska dan Duta Besar Ukraine ke Malaysia Olexander Nechytaylo.

Mengulas lanjut Timbalan Menteri itu berkata, Ukraine yang mempunyai penduduk Islam yang ramai berhasrat menjadi satu daripada negara pemerhati Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

"Beberapa tahun lalu kami telah memohon tetapi tidak pasti kenapa ia tidak diteruskan. Kita (Ukraine) perlu melayani keperluan penduduk Islam di negara kita juga.

"Saya harap dengan bantuan Malaysia dan negara OIC lain, lambat laun status sebagai negara pemerhati boleh diterima positif."

Artikel Berkaitan:

Laporan Bernama mengenai pengiktirafan (halal) oleh JAKIM awal tahun ini yang diumum dalam Facebook Duta Besar Ukraine ke Malaysia secara tidak langsung memberi 'khabar gembira' kepada pengeksport Ukraine, kata Nechytaylo.

Tambahnya, perdagangan dua hala Ukraine-Malaysia telah berkembang untuk tahun ketiga berturut-turut dan kini menghampiri AS$400 juta.

Pelantikan FHCB JAKIM adalah berdasarkan keupayaan badan pensijilan halal asing mematuhi prosedur serta garis panduan ditetapkan Malaysia.

Tempoh sah laku pensijilan adalah dua tahun. - Bernama