Warga Indonesia ditahan kes tumbuk di Sepang

Video kejadian bertumbuk di SIC Sepang tular di laman sosial.
Video kejadian bertumbuk di SIC Sepang tular di laman sosial.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang lelaki warga Indonesia ditahan dipercayai terlibat dalam kes tumbuk di Pintu Utama Grandstand Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di Sepang semalam.

Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah berkata, suspek berusia 32 tahun itu dipercayai menumbuk petugas lelaki berusia 24 tahun dalam kejadian kira-kira jam 3.45 petang.

“Puncanya apabila suspek itu ditegur kerana menendang pagar. Mangsa pada ketika itu sedang bertugas di Pintu Utama Grandstand SIC sebelum suspek terbabit menendang pagar.

“Mangsa kemudian menegur tindakan suspek, sebelum dia diserang dan ditendang oleh suspek. Dalam kejadian itu mangsa cedera di bibir,” katanya.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, mangsa menerima lima jahitan dan suspek terbabit ditahan.

Dalam pada itu video kejadian bertumbuk di Pintu Utama Granstand SIC itu tular di laman sosial Facebook serta dikongsi netizen.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: