Berjasa bertanding bukan mahu pecahkan undi Melayu

Badrulhisham - Foto SHARIFFUDIN ABDUL RAHIM
Badrulhisham - Foto SHARIFFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KEPUTUSAN parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada 16 November ini mengejutkan Pas dan UMNO kerana parti itu merupakan sebahagian daripada Gagasan Sejahtera yang terlibat dalam piagam Muafakat Nasional.

Dilabel rasis dan cuba memecahkan undi kaum Melayu, Berjasa yang mempertaruhkan Presidennya, Datuk Dr Badrulhisham Abd Aziz sebagai calon bagaimanapun menegaskan beliau mempunyai alasan perjuangan tersendiri untuk diketengahkan kepada umum.

Ikuti luahan hati Dr Badrulhisham kepada Sinar Harian mengenai punca sebenar Berjasa bertanding PRK Parlimen Tanjung Piai dan harapannya terhadap pengundi.

Apakah objektif dan mesej perjuangan Berjasa yang cuba disampaikan melalui penyertaan PRK kali ini?

DR BADRULHISHAM: Parlimen Tanjung Piai merupakan salah satu daripada dua kerusi diperuntukkan kepada Berjasa sewaktu menyertai Gagasan Sejahtera pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Kita dulu bertanding guna logo Pas, jadi ramai ingat kerusi di Tanjung Piai merupakan kerusi Pas sebelum ini. Sebenarnya Berjasa tidak akan bertanding sekiranya UMNO dan BN meletakkan calon Melayu Islam selaras dengan aspirasi Muafakat Nasional.

Mesej yang kami hendak bawa konsisten dan tidak berubah sejak PRU14 yang kita mahu konsep Islam Berdaulat yang memanfaatkan semua kaum dipraktikkan. Kita pun sudah desak berkali-kali bersama Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) supaya BN meletakkan calon Melayu namun tidak dipenuhi.

Jadi, di situ kami melihat keperluan untuk bertanding.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan meminta penyokong Pas di Parlimen Tanjung Piai supaya tidak memberi undi kepada Berjasa, sebalik menyokong calon MCA yang diperakui kepimpinan Pas. Apa komen Datuk?

DR BADRULHISHAM: Kami anggap gesaan beliau isu remeh-temeh. Berjasa bertanding bukan atas faktor rasis sebaliknya kita melihat formula utama meningkatkan kemakmuran negara adalah dengan mengekalkan kepimpinan Islam dan kaum Melayu untuk mentadbir negara, pada masa sama tidak mengabaikan hak kaum-kaum lain.

Sebenarnya apabila BN meletakkan calon daripada MCA, keputusan itu menyebabkan hati orang Melayu terguris. Saya difahamkan mereka sebelum ini dimaklumkan calon BN ialah orang Melayu, namun pada minggu terakhir sebelum hari penamaan calon tiba-tiba nama calon ditukar kepada calon MCA.

Tindakan sebegini juga menunjukkan seolah-olah Pas sendiri tidak meyakini aspirasi perjuangan dipersetujui parti itu dan UMNO melalui Muafakat Nasional. Mereka kena ingat majoriti pengundi Parlimen Tanjung Piai ialah pengundi Melayu.

Apakah kesan langkah Berjasa bertanding di Tanjung Piai kepada gabungan UMNO dan Pas?

DR BADRULHISHAM: Berjasa masih kekal dalam Gagasan Sejahtera kerana ikatan kerjasama parti-parti gagasan itu sangat longgar. Berjasa masih menghormati UMNO dan Pas serta bersedia kekal dalam gagasan itu sekiranya masih diperlukan.

Bagi saya, Gagasan Sejahtera yang kini bersama-sama UMNO sudah cukup untuk menumbangkan PH pada PRU15 sekiranya kita terus berpegang formula kawasan majoriti kaum Melayu ditandingi orang Melayu, manakala majoriti kaum bukan Melayu ditandingi parti-parti komponen BN atau Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP).

Satu lagi faktor utama kita bertanding adalah kerana kita tidak menolak kemungkinan ada unsur ugutan daripada MCA terhadap UMNO menyebabkan mereka terpaksa mengekalkan status quo kerusi Parlimen Tanjung Piai ditandingi MCA.

Kalau unsur ugutan sebegini dibiarkan, Berjasa bimbang MCA akan mengulangi perkara sama terhadap UMNO dan Pas pada PRU15. Mana rasional letak calon MCA di kawasan majoriti kaum Melayu dan bagaimana pula dengan aspirasi Muafakat Nasional meletakkan agama Islam dan hak istimewa kaum Melayu sebagai teras negara?

Ramai pemerhati politik melihat penyertaan Berjasa dan sebuah lagi bekas parti komponen BN, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dalam PRK Parlimen Tanjung Piai tidak lebih sekadar pemecah undi kaum masing-masing. Sejauh mana keyakinan Berjasa untuk membawa sesuatu signifikan pada pilihan raya kali ini?

DR BADRULHISHAM: Kami tidak ambil pusing kata-kata negatif pihak lain. PRK kali ini pun menyaksikan pertandingan enam penjuru, mengapa mereka tidak kata calon-calon lain pun turut bertindak sebagai pemecah undi?

Bagi saya, soal menang atau kalah juga tidak penting. Paling penting kita mahu memberi mesej kepada Pas dan UMNO bahawa agenda Muafakat Nasional mesti perlu dihormati mereka sekiranya kita benar-benar mahu membawa perubahan kepada negara ini.