Tiada aktiviti LTTE di Malaysia berdasarkan laporan AS: Guan Eng

Guan Eng
Guan Eng
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta memberi penjelasan berhubung laporan kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengenai terorisme di Malaysia pada 2018 yang tidak menyebut aktiviti-aktiviti yang mengaitkan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, laporan itu hanya menyebut Malaysia sebagai sumber dan lokasi transit bagi kumpulan pengganas seperti Islamic State (IS), kumpulan Abu Sayyaf, Al-Qaeda dan Jemaah Islamiah (JI).

“Dalam laporan itu, kerajaan AS langsung tidak menyentuh mengenai aktiviti-aktiviti LTTE.

“Kebimbangan orang awam hanya meningkat selepas pihak polis mengambil tindakan terhadap tertuduh yang didakwa mempunyai hubungan dengan LTTE, sedangkan LTTE kini sudah lumpuh dan tidak lagi wujud berbanding kumpulan pengganas yang masih aktif seperti IS, Abu Sayyaf, Al-Qaeda dan JI,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun Guan Eng berkata, DAP tetap mengalu-alukan jaminan diberikan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador untuk menyiasat dakwaan tertuduh yang didakwa didera dan dipaksa mengaku salah ketika ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Dalam perkembangan lain, Guang Eng yang juga Menteri Kewangan menafikan dakwaan yang beliau mengancam untuk tidak membayar gaji penjawat awam sekiranya mereka tidak mengundi Pakatan Harapan (PH) semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai nanti.

“Sudah jelas, pembangkang mahu memenangi pilihan raya tersebut melalui penipuan dan harapan kosong. Sebaliknya, saya menggesa semua pengundi untuk menolak politik perkauman dan keagamaan melampau yang dimainkan oleh pembangkang.

“Pengundi perlu memberi fokus terhadap parti politik yang boleh memberikan perkhidmatan dan dasar yang lebih baik serta memberi manfaat yang lebih besar kepada rakyat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menafikan laporan media mengenai sembilan agensi dan jabatan yang dipindahkan daripada Kementerian Kewangan ke Jabatan Perdana Menteri.

Katanya, laporan tersebut tidak mendedahkan terdapat agensi yang baru dipindahkan ke Kementerian Kewangan seperti Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia yang memantau semua hospital swasta di negara ini.

“Selain itu, koridor-koridor pembangunan ekonomi juga telah dipindahkan ke Kementerian Kewangan.

“Satu-satunya perbezaan yang ketara adalah perpindahan Khazanah Nasional ke Jabatan Perdana Menteri yang mana Khazanah selama ini memang dipengerusikan oleh Perdana Menteri meskipun pada pemerintahan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Beliau berkata, pemisahan antara jawatan Menteri Kewangan dan Perdana Menteri dibuat oleh PH untuk mengelakkan salah guna kuasa serta memastikan ada semak dan imbang.