Ambulans bunyikan siren ditahan polis

Anggota polis terbabit didakwa cuba merampas kunci ambulans tersebut yang ketika itu sedang membawa pesakit. - Foto Agensi
Anggota polis terbabit didakwa cuba merampas kunci ambulans tersebut yang ketika itu sedang membawa pesakit. - Foto Agensi
A
A
A

MEDAN - Sebuah video berdurasi 23 saat memaparkan aksi pergaduhan mulut antara pemandu ambulans dan seorang anggota polis di Indonesia telah menjadi tular.

Menerusi rakaman itu, individu yang merakamkan kejadian itu berkata, 'Kami ambulans telah diarah berhenti oleh polis'.

Belum sempat individu tersebut menyambung percakapannya, anggota polis itu cuba merampas kunci kenderaan itu secara tiba-tiba namun dihalang pemandu ambulans terbabit.

Berang dengan tindakan itu, pemandu van yang mengenakan pakaian berwarna jingga bertindak turun dari kenderaan tersebut hingga mencetuskan pergaduhan antara mereka.

"Kami sedang bawa pesakit," kata suara seorang lelaki yang juga turun dari ambulans untuk meredakan keadaan.

Maklumat yang diperoleh mendapati kejadian itu berlaku di KF Tendean, Tebing Tinggi dan ambulans itu dipercayai sedang dalam perjalanan mahu menghantar pesakit dari RS Sri Pamela ke RSUD Kumpulan Pane.

Sementara itu jurucakap polis, Sunadi mengesahkan insiden itu berlaku kerana salah faham berikutan ambulans tersebut membunyikan siren ketika ia berdepan kesesakan lalu lintas.

Susulan kejadian itu, kedua-duanya dilaporkan telah saling bermaafan, namun anggota polis terbabit telah digantung tugas dan bakal menghadiri pendengaran tatatertib. - Agensi

Artikel Berkaitan: