X

Kindly register in order to view this article
!

Wang simpanan RM16,900 lesap!

A
A

KUANTAN - Seorang pesara sanggup menyerahkan wang simpanan berjumlah RM16,900 bagi membayar peguam selepas dituduh melakukan jenayah judi dalam talian empat hari lalu.

Bagaimanapun, tindakan terbabit memakan diri apabila wang milik lelaki berusia 77 tahun itu lesap ditipu anggota sindiket Macau Scam yang menyamar pegawai Telekom Malaysia Berhad (TM) dan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang menetap di Kuala Lipis, Pahang menerima panggilan telefon daripada suspek yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai TM kira-kira 1.30 petang pada 30 Oktober lalu.

"Menerusi panggilan itu suspek menyambung panggilan tersebut kepada seorang lagi suspek bagi tujuan semakan memandang mangsa tidak menerima sebarang bil daripada TM.

"Mangsa diberitahu bil telefonnya tertunggak dan disalahgunakan serta turut terlibat dengan kes judi haram online sebelum meminta mangsa membuat laporan polis melaluinya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, selang beberapa minit panggilan telefon mangsa disambungkan kepada seorang pegawai (suspek ketiga) yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis.

"Suspek yang konon-kononnya membuat semakan kemudian memaklumkan mangsa terlibat jenayah dan waran sudah dikeluarkan terhadapnya.

"Kemudian mangsa diminta memasukkan wang sebanyak RM16,900 ke dalam akaun bagi pembayaran peguam dan berbuat demikian pada jam 1.11 petang keesokan harinya," katanya.

Katanya, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Lipis selepas merasakan dirinya ditipu selepas cuba menghubungi suspek pada jam 2.30 petang hari yang sama, namun gagal.

"Rakaman percakapan mangsa sudah diambil dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!