Hak asasi bukan segalanya

A
A
A

HAK asasi seringkali dijadikan alasan sebagai membenarkan membangkitkan perasaan tidak puas hati terhadap sesuatu kaum.

Hakikatnya apabila kedudukan agama Islam dan orang Melayu difitnah dan diherdik, mereka langsung tidak menyanggahnya, namun sangat pantas memberi amaran kepada orang Islam/Melayu apabila tindakan rasis dan perkauman dilakukan orang Islam/Melayu.

Walhal kedudukan istimewa agama Islam, orang Melayu dan Raja-Raja Melayu terjamin di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam sebuah negara majmuk didiami pelbagai kaum seharusnya semua rakyat dan orang yang tinggal di Malaysia menghormati antara satu sama lain. Mereka tidak boleh berselindung di bawah alasan hak asasi manusia mengambil kesempatan mencetuskan kontroversi rakyat yang lain.

Pihak berwajib seharusnya mengambil tindakan tegas bagi membendung fenomena ini dengan melaksanakan undang-undang yang berkaitan agar ia menjadi penghalang kepada perkara yang tidak diingini.

Malaysia sudah pun berada di tangga kejayaan. Dari sudut keharmonian kaum Malaysia menjadi contoh yang sangat baik kepada penduduk luar.

Walaupun orang Melayu ialah kaum majoriti kira-kira 65 peratus penduduk sahaja namun ada dalam kalangan negara lain majoriti penduduk lebih 90 peratus masih tidak mengecapi keamanan seperti Malaysia.

Dalam era rakyat lebih mementingkan hak berbanding tanggungjawab semua pihak perlu disedarkan berperanan pemangkin keamanan negara.

Artikel Berkaitan:

Keharmonian kaum ketika ini dilihat agak rapuh kerana acapkali sensitiviti kaum dan agama diusik.

Bukanlah saya mahu menuding jari kepada satu kaum sahaja kerana saya perhatikan semua kaum mempunyai pihak yang lantang mengkritik.

Namun kegusaran dalam kalangan orang Islam/Melayu ialah tindakan segera dan wajar tidak diambil apabila agama Islam dan orang Melayu dihina.

Sifat saling hormat menghormati sudah mula terhakis dalam diri rakyat Malaysia dan dikhuatiri suatu masa nanti ia langsung tiada di dalam diri.

Bagi orang Islam/Melayu, mempertahankan hak yang dijamin Perlembagaan Persekutuan bukan bermakna orang bukan Islam atau bukan Melayu langsung tidak hak di Malaysia.

Apa yang ingin dizahirkan ialah janganlah mempertikaikan hak yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Dalam masa yang sama, kepentingan yang sah di sisi undang-undang orang bukan Islam dan bukan Melayu boleh dilaksanakan tanpa sekatan.

Tahan sabar

Kelantangan orang Melayu bersuara kini adalah akibat daripada momokon terhadap mereka. Ia sebenarnya reaksi kepada beberapa siri tohmahan kepada orang Melayu sehingga orang Melayu terpaksa menahan kesabaran.

Kalau dulu orang Melayu sangatlah memuliakan orang lain, kini setelah diusik di segenap sudut, kesabaran itu mungkin menemui penghujungnya.

Islam bukanlah sekadar agama yang melaksanakan amalan atau rutin harian tetapi lebih kepada suatu kultur atau budaya.

Ia cara hidup yang terbaik diajar oleh ALLAH SWT dan Rasul-Nya. Sebab itu Islam bukan hanya mengajar rutin spiritual sahaja tetapi juga cara menjalani kehidupan seharian.

Saya sendiri pernah ditanya rakan bukan Islam kenapa terlalu banyak peraturan dikenakan kepada orang Islam seolah-olah tiada ruang untuk budi bicara.

Bagi saya aturan itu bukanlah terlalu ketat sangat, banyak yang boleh dilakukan oleh orang Islam dan terlalu sedikit tegahan yang dianjurkan.

Dalam suruhan dan tegahan yang ada itu pula terdapat pelbagai hikmah yang manusia sendiri gagal memahaminya.

Islam mengatur kehidupan yang lebih sistematik dari segi pengurusan waktu, adab dan aktiviti seharian. Adalah tidak adil menilai Islam dari kaca mata agama lain ataupun menilai agama lain dari kaca mata Islam untuk tujuan menghina sesuatu agama itu.

Berbalik kepada isu penghinaan terhadap agama, saya menyeru semua pihak agar memberikan tumpuan membina negara menghormati semua pihak tanpa mengira kaum dan agama, memasukkan nilai ketimuran yang penuh sifat tolong menolong, hormat menghormati serta beradab.

Tiada untungnya menghina orang lain kerana ia hanya menambahkan nafsu amarah dan meningkatkan lagi kemarahan orang lain terhadap kita.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)