Dr Mahathir dedah tip agar sentiasa sihat

-Foto Bernama
-Foto Bernama
A
A
A

BANGKOK - Pemimpin tertua di dunia, Tun Dr Mahathir Mohamad, 94, merancang untuk menulis rahsia beliau sentiasa sihat selepas diminta banyak kali untuk berkongsi tip itu pada persidangan dan dialog antarabangsa.

“Sungguh ramai orang bertanya saya soalan ini hingga saya (rasa) terpaksa menulisnya. Saya akan menulisnya satu hari nanti untuk menjelaskan kepada orang ramai.

"Bukan secara saintifik kerana saya tidak melakukan pemeriksaan saintifik. Apa yang saya lakukan ialah saya memerhati apa yang berlaku terhadap diri saya dan apa yang berlaku kepada orang lain dan saya buat kesimpulan sendiri.

“Ia bukan saintifik, tidak dibuktikan dan tidak diuji tetapi ini adalah apa yang saya perhatikan terhadap kehidupan yang saya lalui,” katanya dan disambut dengan tepukan daripada peserta pada sesi dialog Persidangan Perniagaan dan Pelaburan ASEAN 2019 yang dipengerusikan oleh Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN, Arin Jira di sini hari ini.

Dalam komen yang lebih serius, Dr Mahathir berkongsi dengan para peserta bahawa beliau sentiasa sihat dengan tidak makan secara berlebihan.

“Perkara pertama ialah jangan terlebih makan. Makan untuk hidup bukan hidup untuk makan. Itu yang paling mudah. Apabila makanan itu sedap, berhentilah makan, itulah nasihat ibu kepada saya.

“Apabila makanan itu sedap, berhentilah makan. Memang itu amat sukar tetapi kita perlu terapkan disiplin,” katanya.

Dr Mahathir menasihati para hadirin agar mengelakkan makanan yang berlebihan lemak, karbohidrat dan gula dalam diet mereka untuk kekal sihat.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah bahawa untuk kekal sihat, seseorang itu hendaklah kekal aktif dan sentiasa bersenam bagi mengelakkan kehilangan otot.

“Aktif bermaksud keseluruhan sistem bukan sahaja otot. Jika anda sentiasa menggunakan otak, bercakap, berfikir, berdebat dan bergaduh, ia akan mengaktifkan otak dan ia akan berfungsi dengan baik.

“Jika ia tidak berfungsi dengan baik terhadap beberapa perkara, lakukannya berulang-ulang kali. Apa juga yang kita lakukan berulang kali, kita akan ingat.

“Jika selepas bersara, kita rehat dan tidur, otak serta badan akan hilang kapasitinya,” katanya. - Bernama