Nor Shamsiah diiktiraf Gabenor Bank Pusat Terbaik Asia-Pasifik 2019

Nor Shamsiah Mohd Yunus
Nor Shamsiah Mohd Yunus
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMASKINI] Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, diiktiraf sebagai Gabenor Bank Pusat Terbaik Asia-Pasifik 2019 oleh majalah kewangan bulanan yang berpangkalan di United Kingdom, The Banker.

Dalam kenyataan hari ini, BNM berkata anugerah tahunan Gabenor Bank Pusat Terbaik itu meraikan gabenor yang dapat merangsangkan pertumbuhan dan menstabilkan ekonomi negara masing-masing.

“Penerbitan itu mengiktiraf gabenor bank pusat di seluruh dunia dalam kategori termasuk Global dan Eropah, Amerika, Asia Barat, Asia-Pasifik dan Afrika,” menurut BNM.

Menurut ringkasan artikel The Banker mengenai anugerah itu, Nor Shamsiah telah melaksanakan banyak pembaharuan bertujuan melonjakkan Keluaran Dalam Negara Kasar negara, membasmi kemiskinan dan mengalakkan peningkatan ketelusan dalam perbankan.

"Beliau juga dilihat sebagai pilihan terbaik dalam usaha mendorong pengawalseliaan dan kebertanggungjawaban lebih kukuh dalam sistem perbankan negara,” menurut majalah itu.

The Banker berkata, Nor Shamsiah turut menurunkan Laporan Transaksi Tunai (CTR) harian kepada RM25,000 daripada RM50,000, berkuat kuasa 1 Jan, 2019, dalam usaha mengekang pembayaran tunai pasaran gelap di Malaysia.

“Bagi masa depan, Nor Shamsiah merancang untuk memperkukuh penggunaan teknologi negara, memandangkan ia boleh dilaksanakan bagi pelbagai perkhidmatan.

“Seiring dengan pelan beliau untuk mengukuhkan landskap pengawalseliaan negara, langkah ke arah pembayaran digital diharap dapat mengurangkan pergantungan terhadap tunai sekali gus mengekang jenayah kewangan,” menurut The Banker. - Bernama

Artikel Berkaitan: