Peluang Lang Merah, Harimau Selatan seimbang

FOTO: BERNAMA
FOTO: BERNAMA
A
A
A

“Bukan soal siapa kuat atau hebat tapi siapa berjaya memanfaatkan peluang yang ada akan menjuarai Piala Malaysia.”

Itu pendapat Ketua Jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan yang menganggap Kedah dan Johor Darul Ta’zim (JDT) mempunyai peluang seimbang untuk merangkul Piala Malaysia bagi edisi kali ini.

“Bagi saya, perlawanan akhir ini memang menarik kerana kedua-dua pasukan berjaya mempamerkan aksi luar biasa semasa peringkat separuh akhir tempoh hari.

“Kedah berjaya menumbangkan Pahang dengan jumlah jaringan yang besar manakala JDT menewaskan Selangor dengan kualiti yang ada pada mereka. Jika momentum itu diteruskan, itu adalah pertembungan yang terbaik,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, JDT merupakan kelab yang lebih berpengalaman kerana bermain di peringkat lebih tinggi selepas skuad Harimau Selatan itu tampil dalam saingan Liga Juara-Juara Asia musim ini.

“Perlu diingat bahawa comeback Kedah itu (ketika menentang Pahang pada aksi separuh akhir kedua) sememangnya menakjubkan dan sekiranya peristiwa itu berulang, pastinya mereka akan mengejutkan JDT.

“Namun, jika diukur prestasi Kedah mahupun JDT pada saingan separuh akhir, amat sukar untuk membuat ramalan pasukan mana yang akan bergelar juara,” ujarnya.

Ketua Jurulatih UiTM FC, Ismail Zakaria turut sependapat dengan Zainal Abidin sambil beliau tetap mengakui JDT memiliki kekuatan yang lebih seimbang daripada segala aspek.

Artikel Berkaitan:

“Namun harus diingat, ini adalah final, macam-macam boleh berlaku. JDT mempunyai pemain yang berpengalaman di peringkat tertinggi. Bagi Kedah pula, atmosferanya berbeza disebabkan motivasi dan imbuhan atau sebagainya, jadi tidak mustahil untuk Kedah juara.

“Kedua-dua pasukan ini sukar dijangka, Kedah yang menang dengan Pahang sebelum ini pun tidak jangka memperoleh jaringan yang besar, mungkin pada aksi final mereka lebih baik.

“Secara peribadinya, saya berpandangan sama ada Kedah atau JDT, jika mereka berjaya mengurangkan kesilapan dan memanfaatkan kesempatan yang ada, itulah pasukan yang akan muncul juara,” katanya.