ADUN DAP tuntut permohonan maaf daripada pengusaha kolam ikan

Cheok Keng menunjukkan video yang dimuat naik di laman Facebook Khoon Lee pada sidang media hari ini.
Cheok Keng menunjukkan video yang dimuat naik di laman Facebook Khoon Lee pada sidang media hari ini.
A
A
A

IPOH - Seorang pengusaha kolam ikan di Malim Nawar diberi tempoh tujuh hari untuk mengemukakan permohonan maaf selepas memuat naik tiga video yang mendakwa kononnya dia dianiaya kerajaan negeri dan diabaikan wakil rakyat.

Video itu dimuat naik menerusi akaun Facebook Khoon Lee sejak Selasa lalu menyatakan rasa tidak puas hati susulan arahan pengosongan kawasan yang dikatakan dibuat tanpa sebarang notis.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, Leong Cheok Keng berkata, lelaki terbabit bersama empat pengusaha kolam ikan lain menjalankan penternakan di atas tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) sejak lebih 40 tahun lalu dengan sebahagiannya diusahakan secara besar-besaran.

"Notis pengosongan telah diserahkan pada Mac dan sebaik cadangan memajukan tapak diluluskan kerajaan, syarikat swasta yang dilantik telah mengadakan rundingan bersama peserta terlibat, Mei lepas.

"Syarikat itu juga bersetuju membayar sejumlah pampasan sebagai ganti rugi yang ditanggung peserta dan saya dimaklumkan ada antara mereka yang sudah menerima bayaran," kata ADUN DAP ini pada sidang akhbar hari ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) Perak menganggap perkara itu telah selesai.

Katanya, tindakan lelaki terbabit yang menyatakan rasa kesal di media sosial hingga tular dan disensasikan sebagai bahan politik hanya memberi imej negatif terhadap pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan diri beliau selaku wakil rakyat kawasan.

“Saya beri tempoh tujuh hari bermula hari ini untuk dia membuat permohonan maaf dan menurunkan video itu. Jika tidak saya akan ambil tindakan undang-undang.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang dinyatakan lelaki itu tidak benar sedangkan saya bersama kerajaan negeri sedaya upaya membantu mereka sejak awal lagi," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Eksekutif PKNP, Mohamed Shafeii Abdul Gaffor berkata, terdapat kira-kira lima kolam ikan diusahakan di atas tanah milik PKNP dengan keluasan 40 hektar dan kolam ikan milik lelaki itu paling besar.

Jelasnya, polisi kerajaan negeri menetapkan hanya mereka yang menjalankan perusahaan secara kecil-kecilan di atas tanah milik agensi kerajaan akan dibantu untuk berpindah ke kawasan baharu.

"PKNP bercadang membangunkan kawasan tersebut sebagai pusat ternakan ikan yang mampu memberi jaminan kepada keselamatan makanan atau food security kepada masyarakat.

"Atas faktor itu kita bekerjasama dengan syarikat swasta agar pembangunan perusahaan kolam ikan di situ lebih terancang," katanya.