Patuhi peraturan ketika berkempen: Polis

MUSTAFA
MUSTAFA
A
A
A

PONTIAN - Polis mengingatkan calon dan parti-parti yang terlibat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai supaya berkempen secara berhemah dalam tempoh bermula hari ini hingga 11.59 malam pada 15 November ini.

Ketua Polis Pontian, Superintendan Mustafa Nakri Salleh berkata, kesemua pihak terlibat perlu mematuhi peraturan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 demi memastikan tempoh berkempen dan proses mengundi berjalan lancar.

"Permit juga perlu mohon kepada kita untuk kempen yang tidak mendatangkan kegusaran dan kesan kepada keselamatan serta ketenteraman di daerah Pontian seluruhnya.

"Setakat ini polis terima dua laporan dan ia lebih kepada mengaibkan calon bertanding," katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon PRK Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan di sini hari ini.

Katanya, proses penamaan calon yang berlangsung hari ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Beliau berkata, semua pihak termasuk penyokong setiap parti yang hadir mematuhi arahan pihak polis yang bertugas.

"Seramai 1,185 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Bukit Aman terlibat pada proses penamaan calon hari ini.

"Kesemua mereka ini juga akan bertugas pada hari mengundi nanti dan mungkin ada penambahan anggota," katanya.

Artikel Berkaitan:

PRK Tanjung Piai pada 16 Disember ini menyaksikan pertembungan enam penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Karmaine Sardini, 66; calon MCA mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dan Parti Gerakan Rakyat Rakyat Malaysia (Gerakan), Wendy Subramaniam.

Turut bertanding, Presiden Barisan Jemaah Islamiah Malaysia (Berjasa), Dr Badrulhisham Abdul Aziz dan dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock yang juga pengetua sebuah pusat tuisyen serta Faridah Aryani Abdul Ghaffar.