Paul Yong boleh hadiri Sidang DUN Perak, kata peguam

Paul Yong Choo Kiong (tengah) - Foto Bernama
Paul Yong Choo Kiong (tengah) - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Exco Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak, Paul Yong Choo Kiong yang berdepan pertuduhan merogol pembantu rumah boleh menghadiri sesi Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang akan bermula 18 November ini.

Peguam Leong Cheok Keng berkata, ia berikutan pindaan tarikh persidangan dari 12 November kepada Jumaat tidak bertindih dengan tarikh perbicaraan ditetapkan bagi kes itu iaitu 11, 13, 14 dan 15 November.

"Hanya pada 15 November, ada sesi pembentangan Belanjawan 2020 Perak oleh Menteri Besar. Kita akan cuba minta pelepasan pada hari itu.

"Mungkin tiada masalah memandangkan kebiasaan (pembentangan) bajet hanya mengambil masa separuh hari sahaja," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Mesyuarat Ketiga Tahun Kedua Dewan Negeri Ke-14 Perak ditetapkan pada 15 November bagi pembentangan Belanjawan 2020 sebelum persidangan disambung pada 18 hingga 22 November.

Sementara itu, Mahkamah Sesyen Ipoh pada 22 Oktober lalu menetapkan tarikh perbicaraan dijalankan selama empat hari sahaja dengan memanggil mangsa yang merupakan wanita warga Indonesia berusia 23 tahun sebagai saksi utama.

Cheok Keng berkata, selaku tertuduh, Paul Yong perlu menghadiri setiap prosiding mahkamah.

Bagaimanapun katanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu masih mempunyai tanggungjawab selaku wakil rakyat dan anggota Exco.

Artikel Berkaitan:

"Kami di pihak peguam akan berbincang mengenai perkara ini dan saya kira tiada halangan untuknya hadir ke Persidangan Dewan Undangan Negeri.

"Sebelum ini, kita dah pun memohon pelepasan pada 12 November dan ia dibenarkan oleh mahkamah. Hanya beberapa hari lalu saya terima pula surat pindaan persidangan ini," katanya.