PRK Tanjung Piai bakal ditandingi enam penjuru

Lima calon beramah mesra selepas pendaftaran pada Hari Penamaan Calon PRK Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan Pontian hari ini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Lima calon beramah mesra selepas pendaftaran pada Hari Penamaan Calon PRK Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan Pontian hari ini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PONTIAN - Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai akhirnya membuka tirai dengan proses penamaan calon tepat pada jam 9.00 pagi di Dewan Jubli Intan di sini tadi.

Pengumuman pembukaan proses penamaan calon bagi PRK Tanjung Piai dibuat Pengurus Pilihan Raya, Zulkifly Mohamad Tahir bersama barisan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

PRK Tanjung Piai mungkin menyaksikan pertembungan enam penjuru termasuk dua calon bebas.

Pakatan Harapan (PH) yang juga penyandang kerusi Parlimen itu menerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempertaruhkan Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66, untuk mempertahankan kerusi tersebut.

Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini disebut-sebut mahu meletakkan calon UMNO akhirnya mengekalkan status quo MCA pada PRK Tanjung Piai dengan meletakkan bekas penyandang, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, 55, sebagai calon.

Selain dua parti, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) meletakkan calon iaitu Timbalan Setiausaha Agungnya, Wendy Subramaniam, 38, manakala Barisan Jemaah Islamiah Malaysia (Berjasa) mempertaruhkan presidennya, Datuk Ir Dr Badhrulhisham Abd Aziz sebagai calon.

Dua calon bebas turut dijangka mewarnai PRK Parlimen Tanjung Piai ialah ahli perniagaan, Faridah Aryani Abdul Ghafar, 43, dan pengusaha pusat tuisyen tempatan, Ang Chuan Lock, 49.

Bagaimanapun, pencalonan seorang lagi individu, Choong Chai Huatt yang juga pengarah sebuah syarikat dipercayai tidak diterima SPR kerana sehingga jam 10 pagi, dia gagal membawa seorang penyokong dan pencadang bagi proses penamaan calon.

Artikel Berkaitan:

Tempoh pencalonan selama sejam, diikuti pengumuman senarai calon yang akan bertanding Zulkifly kira-kira jam 11 pagi.