Malaysian Tigers simpan taring

Pemain Malaysian Tigers perlu melupakan kekalahan pada aksi pemanas badan sebaliknya fokus kepada aksi sebenar menentang Great Britain. - Foto Malaysian Hockey Confederation
Pemain Malaysian Tigers perlu melupakan kekalahan pada aksi pemanas badan sebaliknya fokus kepada aksi sebenar menentang Great Britain. - Foto Malaysian Hockey Confederation
A
A
A

LAGENDA hoki kebangsaan, Datuk Mirnawan Nawawi menyifatkan Malaysian Tigers menyimpan taring berikutan kekalahan dua aksi pemanas badan kepada dua kelab Belanda, HOC Gazellen-Combinatie dan HC Bloemendaal pada Sabtu dan Ahad lalu.

Sebalik katanya, skuad Roelant Oltmans masih menyesuaikan diri bermain dalam cuaca sejuk sebelum turun aksi kelayakan Olimpik 2020 menentang Great Britain hujung minggu ini.

Pada masa sama, Mirnawan percaya kedua-dua kekalahan itu tidak memberikan kesan besar kepada skuad hoki negara sebaliknya mahu pemain fokus pada aksi sebenar menentang Great Britain.

“Sudah tentu dalam mana-mana perlawanan kita mahukan kemenangan. Tetapi kita juga kena faham ia salah satu rangka persiapan pasukan negara dan perlawanan untuk menyesuaikan diri dengan suasana dan cuaca di Eropah.

“Bagi jurulatih pula, ia medan terbaik untuk mereka mencuba beberapa strategi yang mungkin boleh digunakan ketika menentang Great Britain. Yang paling penting saya percaya pemain juga dinasihatkan supaya tidak ambil risiko yang tinggi dalam perlawanan itu untuk elakkan kecederaan.

“Apa sebenarnya yang nak saya perkatakan adalah kedua-dua perlawanan tersebut tidak penting kerana perlawanan sebenar yang perlu diberikan tumpuan adalah perlawanan menentang Great Britain,” katanya kepada Sinar Harian.

Malaysian Tigers tewas dalam dua aksi pemanas badan tersebut kepada HOC Gazellen-Combinatie 1-4 dan kepada HC Bloemendaal 2-4.

Skuad negara akan mengharungi dua perlawanan getir menentang Great Britain di Stadium Olimpik Lee Valley pada 2 dan 3 November ini dalam usaha memastikan tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 menjadi milik mereka.

Artikel Berkaitan:

Mirnawan turut optimis skuad negara akan dapat mencipta kejutan, namun pemain perlu memastikan mereka memberikan persembahan 100 peratus.

“Suka untuk saya ingatkan pemain bahawa mereka perlu menyematkan supaya dedikasikan perlawanan itu kepada diri mereka sendiri, orang tersayang dan kepada raja serta negara. Mereka perlu tahu apa tujuan mereka bermain supaya mereka tidak hilang fokus dan lebih bersemangat.

“Jika mereka bermain dengan semangat dan sedar selama ini mereka telah berkorban masa dan kudrat mereka semata-mata untuk perlawanan ini, saya percaya ia bakal menjadi pemangkin untuk seluruh pasukan mencipta kejutan ke atas pasukan Great Britain,” katanya.