Anggota polis ditahan miliki pistol tiruan, barang curi

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua lelaki termasuk seorang anggota polis ditahan kerana memiliki pistol tiruan serta barang curi di Taman Kamariah, Batu 6 di Gombak dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, suspek berusia 21 dan 27 tahun itu ditahan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak yang melakukan rondaan cegah jenayah kira-kira 12.30 tengah malam.

"Pemeriksaan terhadap kedua-dua suspek membawa kepada penemuan barangan seperti sepucuk pistol tiruan, pisau lipat, 10 biji pil disyaki erimin 5 dan gari.

"Motosikal Yamaha 15ZR digunakan mereka juga adalah motosikal curi yang dilapor hilang di Setapak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, polis turut menemui tiga pistol tiruan bersama enam kelopak di sebuah rumah di Taman Setapak Indah di sini, milik seorang daripada suspek.

Katanya, kedua-dua suspek direman selama empat hari sehingga Isnin (4 Nov) untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958," katanya. -Bernama

Artikel Berkaitan: