35,439 item disyaki mengandungi nikotin bernilai RM6.38 juta dirampas

Dr Noor Hisham - Foto fail Bernama
Dr Noor Hisham - Foto fail Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merampas 35,439 item yang disyaki mengandungi nikotin bernilai RM6.38 juta dalam operasi bersepadu terhadap penjualan bahan tersebut tanpa lesen, semalam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, operasi bersepadu yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) bersama enam cawangan Penguatkuasaan Farmasi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah serta Terengganu telah menyerbu 28 premis.

"Operasi dilakukan berikutan penjualan nikotin tanpa lesen racun yang sah semakin berleluasa termasuk di platform e-dagang dan media sosial," katanya.

"Melalui risikan terancang, KKM telah melakukan serbuan terhadap premis yang dikenal pasti," katanya.

Menurutnya, operasi bersepadu dijalankan hasil risikan KKM ke atas aduan dan maklumat awam berkenaan penjualan rokok elektronik yang mengandungi cecair nikotin kepada pelajar sekolah dan belia.

"Tindakan ke atas penjualan nikotin ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana sejak 2015, KKM telah mengambil tindakan

terhadap premis yang menjalankan perniagaan tersebut," katanya.

Bagaimanapun katanya, sejak akhir-akhir ini, aktiviti penjualan didapati semakin serius, termasuk di platform e-dagang.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, KKM telah meningkatkan kerjasama dengan pengendali platform e-dagang yang berpusat di Malaysia serta di laman media sosial.

"Penjual yang didapati menjual nikotin di platform tersebut telah dikenal pasti dan disenarai hitam," katanya.

Beliau berkata, sepanjang tahun ini, sebanyak 165 laman sesawang seperti blogspot dan media sosial telah dilaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Facebook, Instagram, Twitter, dan YouTube untuk tindakan sekatan.

Dr Noor Hisham berkata, nikotin adalah merupakan Racun Kumpulan C dan dikawal mengikut Akta Racun 1952 [Akta 366].

"Penjualan nikotin secara berleluasa tanpa lesen sah

adalah satu kesalahan dan jika didapati bersalah boleh

dihukum di bawah Seksyen 32(2) Akta Racun 1952 iaitu denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Menurutnya, sediaan nikotin dikawal di bawah Akta Jualan Dadah 1952 [Akta 368] (Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984) dengan produk-produk yang mengandungi nikotin (termasuklah cecair rokok elektronik) perlu berdaftar

dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

"Penjualan produk yang mengandungi nikotin hanya boleh dilakukan oleh ahli farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar untuk tujuan rawatan perubatan seperti terapi penggantian nikotin bagi perokok yang ingin berhenti merokok," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati penjual, pengedar, pengilang dan pengimport untuk menghentikan serta merta sebarang aktiviti pengilangan, pengedaran dan penjualan cecair yang mengandungi nikotin.

"KKM akan meneruskan pemantauan serta menjalankan operasi secara berterusan dengan pelbagai pihak bagi memastikan

penjualan cecair rokok elektronik bernikotin dapat dibanteras," katanya.