X

Kindly register in order to view this article
!

Perak kekal fatwa sebelum ini, tidak ikut Perlis

Laporan Sinar Harian hari ini. Gambar kanan: Harussani Zakaria
A
A

IPOH - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menegaskan bahawa Perak tetap dengan ketetapan bahawa agihan zakat di negeri ini hanya tertakluk kepada orang Islam.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan Perlis mungkin mempunyai pandangan tersendiri kerana meluluskan fatwa yang membolehkan wang zakat diberi kepada bukan Islam.

"Jika Perlis sudah memutuskan begitu, itu hak bagi negeri merekalah. Mungkin mereka ada pandangan sendiri.

"Bagi Perak, kita kekal dengan apa yang diputuskan (fatwa) sebelum ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Terdahulu, Perlis meluluskan fatwa membolehkan wang zakat diberi kepada bukan Muslim di bawah asnaf ‘muallafah qulubuhum’ iaitu golongan yang ingin diharmonikan sikap dan persepsi mereka terhadap Islam.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dipetik berkata, golongan bukan Muslim layak menerima bantuan berkenaan atas syarat yang ditentukan oleh 'ulil amri' atau pemerintah.

ARTIKEL BERKAITAN: Perlis putus wang zakat boleh beri kepada bukan Muslim

Harussani Zakaria berkata, zakat adalah satu tuntutan yang diwajibkan ke atas umat Islam bagi membantu masyarakat Islam yang tergolong dalam fakir dan miskin.

"Zakat ini satu ibadat bagi membantu orang Islam yang fakir dan miskin, ia tidak boleh diberikan kepada orang bukan Islam.

"Belum pernah lagi kita di Malaysia ini, menyampaikan agihan zakat kepada orang kafir," katanya.

Bagaimanapun katanya, ia tidak menjadi satu kesalahan untuk membantu mereka yang bukan Islam, namun ia tidak boleh dilaksanakan melalui agihan zakat.

"Nak bersedekah membantu orang kafir ini boleh, malah satu tuntutan jika mereka tergolong daripada kumpulan yang patut dibantu tetapi itu dipanggil bantuan, bukan zakat," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus