Penyokong Kedah yakin strategi Aidil Sharin

Aksi Zulkifli semasa memakai kostum bunga matahari. FOTO: PUAKA JERAI
Aksi Zulkifli semasa memakai kostum bunga matahari. FOTO: PUAKA JERAI
A
A
A

Para penyokong Lang Merah tetap menaruh keyakinan kepada strategi ampuh yang bakal dicatur pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak ketika berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini, lapor WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR.

Seorang penyokong tegar Lang Merah, Zulkifli Hashim berkata, walaupun pasukan kesayangan mereka kehilangan dua tonggak utama di barisan pertahanan iaitu Renan Alves dan Rizal Ghazali, namun ia bukan masalah besar.

Menurutnya, Kedah masih lagi mempunyai beberapa pemain yang mampu mengalas tugas tersebut seperti pertahanan berpengalaman, Khairul Helmi Johari dan pemain muda, Amirul Hisham Awang Kechik.

Zulkifli bersama sebahagian penyokong Kedah yang berjaya membeli tiket final Piala Malaysia 2019 di Stadium Darul Aman semalam.
Zulkifli bersama sebahagian penyokong Kedah yang berjaya membeli tiket final Piala Malaysia 2019 di Stadium Darul Aman semalam.

"Amirul Hisham sebagai contoh mampu menggalas tugas membantu barisan pertahanan pada final Piala FA 2019 pada Julai lalu dan kami yakin ketua jurulatih, Aidil Sharin sudah ada bayangan siapa pengganti Renan dan Rizal pada Sabtu ini.

"Tugas kami sebagai penyokong adalah perlu terus memberikan sokongan padu kepada pasukan walau apa sahaja yang berlaku.

"Pada pentas akhir ini, barisan pertahanan Lang Merah termasuk penjaga gol perlu sentiasa berwaspada dengan sebarang tipu helah ataupun percubaan jarak jauh yang bakal direncanakan rangkaian serangan Harimau Selatan," katanya kepada Sinar Harian.

Zulkifli atau lebih dikenali dengan nama Puaka Jerai yang membawa identiti memakai kostum bunga matahari berkata, penyerang negara, Safawi Rashid antara penyerang JDT yang perlu diberikan perhatian dan tidak boleh dibiarkan bergerak bebas di atas padang.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, peminat dan penyokong Kedah mengakui kemampuan pemain kelahiran Terengganu itu yang dianggap antara penyerang berkualiti yang dimiliki skuad kebangsaan ketika ini.

"Saya mempunyai keyakinan dengan semua pemain Kedah walaupun perlu berdepan dengan sebuah kelab berkualiti seperti JDT. Saya jangka persaingan sengit akan berlaku dan percaya Kedah mampu menang dengan keputusan 2-1," katanya.