Isa Samad mohon dapatkan pasport ke UK, umrah

Isa - Foto fail
Isa - Foto fail
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 27 November untuk mendengar permohonan bekas pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang menghadapi pertuduhan pecah amanah dan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta bagi mendapatkan sementara pasportnya untuk menunaikan umrah dan melawat anaknya di United Kingdom.

Peguam Julie Faralisa Abd Jais yang mewakili Mohd Isa memberitahu media perkara itu selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Mahyudin Mohmad Som yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asraf Mohamed Tahir.

"Ini adalah permohonan baru anak guam saya untuk mendapatkan sementara pasport bagi menunaikan umrah pada 10 Disember ini serta melawat anaknya di luar negara.

"Mahkamah menetapkan 27 November untuk pendengaran berhubung permohonan itu," katanya.

Mohd Isa menyerahkan pasportnya kepada mahkamah untuk disimpan selepas beliau didakwa atas pertuduhan pecah amanah dan menerima rasuah dan kesnya masih di peringkat perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Pada 14 Disember 2018, Mohd Isa,70, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta bagi meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak, oleh Felda Investment Corporation (FIC) Sdn Bhd.

Dia dituduh melakukan kesalahan pecah amanah di Tingkat 50, Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC pada 29 April 2014, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Dia dituduh melakukan semua kesalahan menerima rasuah di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Bicara kes rasuah RM3 juta Isa Samad bermula esok