86 rakyat kita jadi keldai dadah

Mohd Khalil
Mohd Khalil
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia menasihati rakyat tempatan supaya lebih berwaspada bagi mengelak terjebak dengan aktiviti sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang menawarkan kerja di luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, sindiket berkenaan dipercayai mengambil kesempatan terhadap keperluan terdesak rakyat Malaysia.

“Modus operandi mereka ialah memberi beg yang berisi dadah tanpa pengetahuan mangsa untuk dibawa ke luar negara. Apabila ditangkap, kita tidak dapat membantu kerana ia tertakluk kepada undang-undang dan akta negara tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pagi tadi.

Mohd Khalil berkata, pihaknya memberkas dua lelaki warga Nigeria dan merampas dadah jenis kokain yang bernilai RM55,000 dalam operasi Alsum di Selangor, 25 Oktober lalu.

“Dua individu ini disyaki menjalankan aktiviti merekrut orang tempatan menjadi keldai dadah,” katanya.

Menurutnya, seramai 86 rakyat Malaysia dipercayai menjadi keldai dadah dan ditahan di luar negara tahun ini.

“Seramai 23 individu ditahan di Singapura, 15 di Indonesia, 13 di Jepun, sembilan di Korea Selatan, tujuh di Australia dan Hong Kong, enam di Taiwan, dua di Iran dan Laos, masing-masing seorang di Peru dan Thailand,” katanya.

Artikel Berkaitan: