Kegembiraan memancing bertukar tragedi

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KLANG - Kegembiraan dua sahabat ketika memancing bertukar tragedi selepas seorang daripada mereka lemas apabila bot dinaiki karam dipukul ombak dalam kejadian berhampiran Stesen Janakuasa Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Kapar di sini, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu, mangsa Syed Noor Masadi, 51, meninggal dunia dalam kejadian terbabit.

Manakala rakannya, Amir Hamzah Mohd Jani, 55, selamat selepas berpaut pada sebuah tong minyak.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor, Kapten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, kedua-dua mangsa yang berasal dari Sungai Sembilang, Jeram keluar memancing di laut kira-kira jam 3 pagi.

"Namun, dalam perjalanan pulang, bot fiber dinaiki mereka terbalik dipukul ombak sebelum karam.

"APMM yang menerima panggilan berhubung kejadian terbabit kira-kira jam 3.15 petang telah mengerakkan aset ke lokasi berkenaan sebelum salah seorang mangsa (Amir Hamzah) yang sedang berpaut pada sebuah tong minyak.

"Manakala rakannya pula ditemui pada jarak 0.8 batu nautika dari Perepat, Kapar dan disahkan meninggal dunia akibat lemas kira-kira pukul 4 petang," katanya.

Mohammad Rosli berkata, kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa ke jeti Pulau Indah untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai agar mementingkan pemakaian jaket keselamatan setiap kali ke laut dan tidak menganggap jaket itu sebagai satu bebanan.