MARDI lancar perancangan strategik korporat 2021-2030

Salahuddin (dua,kiri) menandatangani plak simbolik pelancaran Buku MARDI @ at Gaince & e-Logo MARDI pada Majlis Sambutan 50 Tahun MARDI di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) hari ini. -Foto Bernama
Salahuddin (dua,kiri) menandatangani plak simbolik pelancaran Buku MARDI @ at Gaince & e-Logo MARDI pada Majlis Sambutan 50 Tahun MARDI di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

SERDANG - Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) hari ini melancarkan Perancangan Strategik Korporat 2021-2030 (CSP) yang menggariskan lima teras yang antaranya untuk meningkatkan produktiviti tanaman dan ternakan melalui inovasi penyelidikan serta memodenkan pertanian dengan teknik dan teknologi terkini.

CSP tersebut turut menggariskan penerokaan, pemuliharaan dan penggunaan sumber biodiversiti; memperkasakan kaedah pemindahan teknologi kepada kumpulan sasaran; dan memperkukuhkan dan memperkasa visibiliti dan tadbir urus organisasi.

Ketua Pengarah MARDI, Datuk Mohamad Roff Mohd Noor berkata, terdapat 19 strategi dan 100 pelan tindakan digariskan dalam lima teras tersebut yang antaranya berkaitan projek pembangunan padi, tanaman hotrikultur, tanaman industri, ternakan dan baja.

“CSP yang kita bangunkan ini diharapkan boleh diguna pakai sepanjang Rancangan Malaysia ke-12 dan ke-13, kerana perancangan ini sepanjang 10 tahun,” katanya kepada media selepas perasmian Sambutan 50 Tahun MARDI oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub di sini hari ini.

Mohamad Roff berkata, antara projek yang sedang diusahakan MARDI ialah membangunkan produk tanaman dalam satu varieti yang mengandungi nilai kesihatan yang tinggi dan ciri-ciri yang bagus.

“Pada masa hadapan, kita nak hasilkan padi yang mengandungi ciri-ciri kesihatan seperti GI rendah (low Glycemic Index), jadi orang yang ada penyakit diabetes pun boleh makan kemudian dia mempunyai vitamin serta rintang kepada penyakit. Ini kita akan namakan super rice.

“Bukan itu sahaja kita juga nak menghasilkan telur, super egg. Kita akan bangunkan telur yang ada omega dan silium yang tinggi serta asid folik. Pada masa akan datang itulah antara perkara yang kita akan tengok," katanya.

MARDI ditubuhkan pada 28 Oktober 1969 dan mula beroperasi menjalankan penyelidikan pada Mac 1971 di Kuala Lumpur sebelum berpindah ke Serdang pada 1972. Ia ditubuhkan untuk memajukan sektor pertanian di Malaysia untuk menjadi lebih moden, dinamik dan cekap melalui penggunaan teknologi terkini.

Artikel Berkaitan:

Pada awal penubuhannya, MARDI beroperasi dengan 422 kakitangan termasuk 71 pegawai penyelidik di mana tumpuan awal penyelidikannya adalah membangunkan varieti baharu tanaman dan sistem pengeluaran moden untuk semua jenis tanaman kecuali getah.

Kini, MARDI mempunyai 2,933 kakitangan yang mana 553 daripadanya adalah pegawai penyelidik yang melaksanakan teras perniagaan iaitu menjana dan memindahkan teknologi kepada golongan sasar.

Dalam tempoh 50 tahun penubuhannya, MARDI telah menghasilkan lebih 1,000 teknologi dan pengetahuan baharu dalam bidang pertanian dan pemprosesan produk industri asas tani.

Antara produk hasil penyelidikan MARDI ialah rambutan Mutiara Merah, rambutan Mutiara Wangi, belimbing Bintang Emas, padi Kadaria 1, tomato MAHA 18, baka kambing baru MARDI BK, teknologi minuman botani 6s Bev dan MyRM Kelulut Honey. - Bernama