MARDI lancar tiga klon kopi baharu

Chan Foong Hin (tengah) menyempurnakan Pelancaran Klon dan Inovasi Kopi Liberica Baharu MARDI di Pejabat MARDI Kluang, pada Sabtu.
Chan Foong Hin (tengah) menyempurnakan Pelancaran Klon dan Inovasi Kopi Liberica Baharu MARDI di Pejabat MARDI Kluang, pada Sabtu.
A
A
A

KLUANG - Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) melancarkan tiga klon kopi baharu yang mempunyai hasil dan kualiti terbaik di sini pada Sabtu.

Pelancaran Klon dan Inovasi Kopi Liberica Baharu MARDI dinamakan MKL 8, MKL 9 dan MKL 10 itu disempurnakan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin.

MARDI dalam satu kenyataan memberitahu, semua klon terbaharu itu sesuai disyorkan kepada petani atau pengusaha tanaman kopi untuk meningkatkan hasil sekali gus menjana pendapatan petani.

"Purata hasil kopi jambu bagi set klon kopi baharu ini antara 17 hingga 25 t/ha, iaitu sehingga 60 peratus lebih tinggi daripada hasil klon komersial sedia ada.

"Dengan peratus pertukaran kopi jambu kepada kopi beras sebanyak 10 peratus, klon baharu ini mampu menghasilkan kopi beras antara 1.9 hingga 2.7 t/ha, iaitu 25 peratus lebih tinggi daripada klon komersial," menurut MARDI dalam satu kenyataan.

MARDI memberitahu, berdasarkan kajian fitokimia, klon kopi Liberica baharu itu juga mempunyai kualiti biji kopi yang lebih baik dan berpotensi tinggi untuk dibangunkan sebagai produk premium kopi Liberica dengan fungsi kesihatan.

"Dengan keunikan kualiti dan citarasa kopi Liberica Malaysia, Foong Hin berharap semua pihak berganding bahu menjayakan hasrat kerajaan dan pihak berkepentingan dalam meningkatkan ekonomi rakyat dan negara," tambah kenyataan itu.

Sehingga kini, MARDI telah mengisytiharkan 10 klon kopi Liberica dan Robusta sejak 1995.

Pembangunan set ketiga klon kopi Liberica MARDI itu dimulakan pada 1982 dengan pemilihan sebanyak 28 aksesi kopi daripada koleksi janaplasma kopi Liberica, dibiak secara klonal dan dinilai dalam peringkat penilaian awal hasil bermula 1997 hingga 2005.

Seterusnya 14 klon terpilih dimajukan ke peringkat penilaian lanjutan hasil bermula 2015 hingga sekarang.

Dalam majlis turut dihadiri Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip; Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI, Dr Azman Ismail; Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani serta Pegawai Daerah Kluang, Mohd Rafi Abdullah MARDI turut melancarkan teknologi pengeluaran bahan tanaman bagi kopi menggunakan kaedah keratan.

Kaedah itu jelas MARDI, boleh mempercepatkan proses pengeluaran bahan tanaman antara lapan sehingga sembilan bulan berbanding kaedah konvensional (cantuman baji) yang mengambil masa lebih lama iaitu 15 sehingga 16 bulan.

Dengan penjimatan masa selama enam sehingga lapan bulan, teknologi itu juga dapat menghasilkan anak pokok kopi tanpa menggunakan pokok penanti.

MARDI memaklumkan, dengan adanya kaedah penghasilan anak pokok menggunakan keratan tanpa pokok penanti, kos pengeluaran, tenaga buruh, masa dan input lain yang berkaitan dapat dijimatkan.

Kata MARDI lagi, usaha penghasilan anak benih kopi melalui teknik itu adalah signifikan untuk perkembangan industri kopi negara.

"Penanam kopi terpaksa bersaing dengan pengusaha komoditi lain terutamanya sawit bagi mendapatkan bantuan dana, keluasan tanah penanaman, tenaga buruh dan kos input," menurut institut penyelidikan tersebut.