TCBS Puncak Alam bantah campur tangan pihak luar

Mohd Salim (tengah) bersama jawatankuasa TCBS membantah sebarang usaha pihak tertentu yang ingin mengambil alih pengurusan TCBS.
Mohd Salim (tengah) bersama jawatankuasa TCBS membantah sebarang usaha pihak tertentu yang ingin mengambil alih pengurusan TCBS.
A
A
A

PUNCAK ALAM - Pihak Pengurusan Persatuan Peniaga Car Boot Sales (TCBS) Puncak Alam membantah sebarang usaha pihak tertentu yang ingin campur tangan berhubung penganjuran tapak jualan di Jalan Puncak Alam Jaya.

Presidennya, Mohd Salim Muktari berkata, terdapat khabar angin pihak tertentu ingin mengambil alih pengurusan TCBS yang dibuka pada setiap petang Jumaat.

Malah, katanya, caj operasi sebanyak RM6 yang dikenakan kepada peniaga pada masa sekarang juga mungkin dinaikkan sekiranya pihak terbabit menguruskan TCBS pada masa akan datang.

"Ada ura-ura mengatakan tapak sedia ada ini ingin diuruskan oleh pihak lain dan caj yang bakal dikenakan juga jauh lebih tinggi berbanding RM6 yang dikenakan kepada setiap peniaga," katanya.

Mohd Salim berkata, pada masa ini terdapat kira-kira 150 peniaga menjalankan perniagaan masing-masing di tapak itu sejak dua bulan lalu.

"Majoriti peniaga yang datang ke tapak jualan ini dari beberapa kawasan yang jauh dan mereka kebanyakannya dalam kalangan golongan asnaf.

"Matlamat kita jelas iaitu ingin membantu asnaf menerusi perniagaan sekali gus mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan," katanya.

Katanya, tindakan pihak terbabit yang ingin mengambil alih pengurusan TCBS hanya untuk kepentingan semata-mata.

Artikel Berkaitan:

"Ada pihak mula iri hati dan cuba mengambil kesempatan dengan mengenakan caj lebih mahal dan sebagainya apabila melihat penganjuran TCBS ini berjaya.

"Kita bimbang ramai peniaga tidak lagi berminat berniaga di kawasan ini selain kemungkinan harga barangan yang dijual peniaga juga jauh lebih tinggi disebabkan kenaikan caj tapak sewa," katanya.