Seluruh negara kini nikmati siaran TV digital

Gobind Singh Deo
Gobind Singh Deo
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sabah dan Sarawak beralih sepenuhnya kepada siaran televisyen (TV) digital myFreeview daripada siaran TV 'terrestrial' analog mulai hari ini dan menunjukkan seluruh negara kini menikmati siaran TV digital.

Ia proses peralihan terakhir susulan proses seumpama melibatkan kawasan di wilayah tengah, selatan, utara dan timur Semenanjung secara berperingkat-peringkat mulai 30 September lepas.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, proses peralihan berjalan lancar namun sebarang masalah yang timbul akan cuba diatasi oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Seperti mana dengan semua proses peralihan, sudah tentu akan wujud masalah tertentu dan paling penting ialah SKMM bersedia menyelesaikannya. Hari ini adalah tarikh proses peralihan kepada (siaran TV) digital secara keseluruhan di Malaysia," katanya selepas merasmikan Maxis Business SPARK Summit 2019 di sini hari ini.

Beliau berkata, tumpuan selepas ini ialah ke arah meningkatkan kualiti kandungan siaran digital itu.

"Melalui proses peralihan analog kepada digital, ini bermakna kita mempunyai keupayaan untuk (menambah) lebih saluran baharu. Berapa jumlah saluran, jenis kandungan perlu difokuskan, saya akan umum perkara itu dalam masa terdekat," kata Gobind.

Menerusi siaran TV digital myFreeview, penonton boleh menikmati pelbagai saluran TV, radio dan aplikasi baharu seperti membeli-belah dalam talian, pembelajaran interaktif melalui saluran TV termasuk TV1, TV2, TV3, NTV7, 8TV, TV9, Al Hijrah, Bernama, TV Okey dan enam saluran radio. - Bernama

Artikel Berkaitan: