Enam anggota MPV minta wang daripada orang awam

Roslee (kiri) menyampaikan sijil penghargaan Ketua Polis Pulau Pinang kepada anggota yang terpilih.
Roslee (kiri) menyampaikan sijil penghargaan Ketua Polis Pulau Pinang kepada anggota yang terpilih.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis mengenal pasti enam anggota polis dari Unit Kereta Peronda (MPV) yang didakwa meminta wang daripada orang awam di daerah Timur Laut.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Roslee Chik berkata, anggota polis tersebut disyaki mensasarkan orang awam yang baharu pulang dari berhibur di pusat hiburan di bandar ini.

Menurutnya, bagaimanapun sehingga kini polis belum menerima sebarang laporan daripada mangsa berhubung perkara itu.

"Kita hanya menerima aduan dan maklumat awam mengatakan ada anggota polis MPV di daerah Timur Laut telah meminta wang daripada orang awam. Dari maklumat yang diterima, anggota ini mensasarkan mereka yang baharu keluar dari pusat hiburan dalam keadaan mabuk.

"Namun kita belum terima laporan daripada mangsa. Kita sudah kenal pasti enam anggota yang dikatakan terlibat. Sehubungan itu, jika benar aduan ini, kita minta mangsa tampil membuat laporan polis agar siasatan lanjut dapat dijalankan," katanya kepada media tadi.

Roslee ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Kontinjen Pulau Pinang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini.

Katanya, maklumat yang diterima juga mendakwa terdapat tiga buah MPV yang terlibat dalam kes tersebut.

"Kita akan menyiasat perkara ini kerana sekiranya benar berlaku, ia dianggap serius kerana sebagai anggota polis kita ditugaskan untuk menjaga orang awam. Bukannya menyusahkan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Kita tidak akan berkompromi dengan tindakan anggota seperti ini. Tindakan tegas akan diambil," katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya, Roslee menyatakan sebanyak 81 kertas kertas siasatan tatatertib (KST) telah dibuka yang melibatkan 110 individu pelbagai peringkat sejak Januari sehingga September tahun ini.

"Jika dibandingkan tahun lalu, hanya 69 KST dibuka melibatkan 86 individu. Ini menunjukkan kenaikan sebanyak 12 KST. Daripada 81 KST yang dibuka pada tahun ini, ia melibatkan 11 orang pegawai kanan dan 97 pegawai rendah polis (PRP) serta dua pegawai awam.

"Mereka ini terlibat dalam pelbagai kes dengan kesalahan paling ketara adalah penyalahgunaan dadah yang menunjukkan kenaikan empat kali ganda kali ini pada tahun ini iaitu 32 KST dibuka berbanding lapan dalam tempoh sama pada tahun lalu," katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh sama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) mencatatkan 3,822 kes berbanding tahun lalu iaitu 3,795 kes.

"Ia menunjukkan kenaikan 27 kes iaitu 0.7 peratus yang mana penyelesaian kes melepasi indeks petunjuk prestasi 55 peratus. Bagi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik pula, sebanyak 10,191 tangkapan dengan 550 di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Tangkapan tahun ini dicatatkan mengalami kenaikan berbanding 8,530 pada tahun lalu dengan 607 di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Sementara itu, sebanyak RM10.7 juta dadah tidak termasuk RM12.4 bilion dirampas pada tahun ini," katanya.