X

Kindly register in order to view this article
!

Dua maut, lima parah dirempuh Range Rover

Kemalangan menyebabkan seorang wanita maut manakala lima lagi termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 3 tahun parah.
A
A

SUBANG JAYA - [DIKEMASKINI] Dua pembonceng wanita maut manakala empat lagi termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun cedera parah dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di persimpangan lampu isyarat Persiaran Kewajipan di sini malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, kejadian pada jam 10.01 malam itu dipercayai berlaku apabila pemandu sebuah Range Rover berusia 20 tahun dikatakan cuba mengelak pelintas jalan kaki.

Menurutnya, kemalangan berlaku di Persiaran Kewajipan semasa pemandu yang merupakan penuntut kolej berusia 20 tahun datang dari arah USJ 9 (Taipan) menghala ke arah Subang Kelana.

"Apabila sampai di lampu isyarat Damen, pemandu hilang kawalan dipercayai mengelak orang melintas jalan lalu merempuh dua buah motosikal yang berhenti di lampu isyarat merah di Persiaran Murni.

"Pemandu itu turut merempuh seorang pejalan kaki iaitu seorang lelaki warga China berusia 24 tahun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azman berkata, pembonceng motosikal jenis Honda Wave 110 iaitu seorang wanita warganegara Myanmar maut di tempat kejadian manakala pembonceng sebuah lagi motosikal disahkan meninggal dunia pagi tadi ketika mendapat rawatan di hospital.

"Penunggang motosikal berusia 45 tahun yang merupakan suami kepada seorang mangsa maut bersama anak perempuannya berusia tiga tahun cedera di bahagian kepala dan badan.

"Penunggang motosikal Honda Future 110 berusia 46 tahun mengalami kecederaan di bahagian muka manakala pejalan kaki yang turut dirempuh cedera di bahagian kepala," katanya.

Beliau berkata, kesemua mereka dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus