Penguasaan bahasa Inggeris perlu diberi perhatian: Maszlee

Dr Maszlee Malik
Dr Maszlee Malik
A
A
A

PUTRAJAYA – Isu kebolehpasaran graduan yang perlu diberikan perhatian ialah penguasaan bahasa Inggeris dan juga kekurangan pelbagai kemahiran yang sangat diperlukan oleh industri.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, namun isu paling utama adalah mentaliti dan sikap siswazah.

Beliau berkata, siswazah perlu berdaya kreatif, inovatif dan sentiasa merebut peluang merupakan kunci untuk menghadapi suasana ekonomi yang sangat mencabar ketika ini.

“Antara perancangan strategik Kementerian Pendidikan (KPM) dan antara yang paling ditekankan ialah jalan ke hadapan untuk kita bergerak.

“Saya jelaskan keperluan untuk kita bergerak secara tri parti iaitu universiti, industri dan masyarakat. Ketiga-tiga ini perlu bergabung dan semua reformasi harus mengambil kira keperluan ketiga-tiga pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPKK) dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Pusat Konvensyen Antarabangsa di sini hari.

Maszlee berkata, selain program berkenaan, kerajaan turut menganjurkan pelbagai program seperti AlxCHANGE, 2u2i (dua tahun di universiti dan dua tahun dalam industri) dan Gap Year.

Selain itu, katanya, program-program peringkat nasional dan antarabangsa seperti Kembara Siswa Patriotik, Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu, Persidangan Antarabangsa Pelajar dan Pelajar Kurang Upaya Pembangunan, Festival Budaya Antarabangsa dan sebagainya turut diadakan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, semua program tersebut akan terus diperkasakan untuk terus menghubungkan universiti dengan industri dan universiti dengan masyarakat.

“Terus-terang saya katakan saya sedikit kesal apabila dalam banyak dialog sesi saya dan pelajar yang sering diminta saya adalah bantuan wang.

“Saya memahami pergelutan yang dihadapi dan kita di kerajaan sedang melihat isu ini secara serius. Sebab itulah kita menubuhkan kesatuan pelajar," katanya.

Beliau berkata, kesatuan pelajar ini akan mengurus bisnes dan perniagaan mereka sendiri dalam universiti dan ini sekali gus akan menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat yang memerlukan.

“Penghujungnya kesatuan pelajar juga akan menjadi medan para pelajar kita melatih diri dan meraih pelbagai kemahiran yang akan mereka perlukan untuk memasuki alam pekerjaan,” katanya.