Keluarga mahu dakwa isteri diplomat AS disyaki bunuh anak lelakinya

Ibu bapa Dunn, Charlotte Charles dan Tim Dunn, menggesa pentadbiran Donald Trump supaya mengekstradisi Sacoolas ke Britain namun tidak berjaya. -Foto Agensi
Ibu bapa Dunn, Charlotte Charles dan Tim Dunn, menggesa pentadbiran Donald Trump supaya mengekstradisi Sacoolas ke Britain namun tidak berjaya. -Foto Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Keluarga penunggang motosikal yang terbunuh dalam nahas membabitkan isteri seorang diplomat Amerika Syarikat (AS) mengumumkan tindakan saman ke atas pentadbiran Presiden Donald Trump kerana didakwa merahsiakan kejadian itu.

Harry Dunn, 19, maut pada 19 Ogos lalu apabila motosikal ditunggangnya bertembung dengan kereta dipandu di laluan yang salah oleh isteri diplomat berkenaan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh barisan peguam Anne Sacoolas dan dilaporkan media tempatan wanita itu mengaku memandu kereta ketika kejadian. Beliau meninggalkan Britain selepas menuntut kekebalan diplomatik sebelum sempat disoal siasat oleh polis.

Ibu bapa Dunn, Charlotte Charles dan Tim Dunn menggesa pentadbiran Donald Trump supaya mengekstradisi Sacoolas ke Britain namun tidak berjaya.

“Pentadbiran Trump bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa namun tidak pernah kisah akan kebajikan keluarga Harry atau mencari jalan penyelesaian,” kata jurucakap keluarga berkenaan, Radd Seiger.

Nahas tersebut berlaku berhampiran pangkalan udara Britain yang digunakan tentera Amerika sebagai hab perhubungan dan tempat bertugas suami Sacoolas.

Kes itu yang menjadi bualan ramai di Britain turut mengeruhkan hubungan antara London dengan Washington.

Trump menyifatkan kemalangan tersebut sebagai satu nahas malang dan berkata bahawa adalah satu perkara biasa apabila pemandu Amerika mengalami kesukaran memandu di lorong kiri di Britain.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Tim Dunn memberitahu Sky News bahawa keluarga itu 'jijik' dan 'terkejut' terhadap tingkah laku suspek.

"Saya marah kerana seseorang boleh melakukan ini dan kemudian naik pesawat dan pergi," katanya.

Keluarga itu telah memfailkan tuntutan mahkamah terhadap kerajaan British kerana membiarkan Sacoolas meninggalkan negara itu.

Polis British mengumumkan minggu lalu bahawa penyiasat akan pergi ke AS untuk menyoalsiasat Sacoolas.- AFP