Orang lain buat hal, orang lain dapat padah!

Sebuah lori tangki merempuh tiang lampu isyarat apabila cuba mengelak sebuah trak tunda yang membuat pusingan U di Kilometer 13 Jalan Klang-Banting, Banting semalam.
Sebuah lori tangki merempuh tiang lampu isyarat apabila cuba mengelak sebuah trak tunda yang membuat pusingan U di Kilometer 13 Jalan Klang-Banting, Banting semalam.
A
A
A

BANTING - Sebuah lori tangki terbabas dan merempuh tiang lampu isyarat ketika cuba mengelak trak tunda yang dipercayai membuat pusingan U secara melulu di Kilometer 13 Jalan Klang-Banting, di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Kamalariffin Aman Shah berkata, kejadian kira-kira jam 1.05 petang itu membabitkan empat kenderaan termasuk sebuah motosikal jenis Honda EX5 dan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

Menurutnya, siasatan awal mendapati trak tunda yang berada di hadapan motosikal dan pacuan empat roda itu membuat pusingan U semasa lampu isyarat merah.

No Image Caption

"Dalam masa sama, motosikal dan pacuan empat roda berkenaan sedang menunggu di lampu isyarat bertukar hijau.

"Sebuah lori tangki yang datang dari arah hadapan gagal mengelak trak penunda yang membuat pusingan U itu sebelum melanggar motosikal dan pacuan empat roda terbabit," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, penunggang motosikal bagaimanapun berjaya mengelak daripada rempuhan terbabit.

Katanya, tiada kecederaan dialami oleh kesemua pemandu terlibat.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua pemandu kenderaan terlibat telah membuat laporan polis kecuali pemandu trak tunda berkenaan. Kita minta dia tampil untuk membantu menyelesaikan kes ini," katanya.

No Image Caption

Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, insiden tersebut turut tular di media sosial Facebook.